Pengurus Pengurusan Jenama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Hazura Ahmad Halil berkata, program selama dua hari tersebut anjuran bersama MMC Sdn. Bhd., terbuka kepada semua pembaca Utusan Malaysia dan diadakan di Dewan Utusan Melayu, Jalan Utusan, di sini.

Menurutnya, selain kupasan terperinci mengenai ilmu hartanah, pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan oleh pihak penganjur.

“Simposium kali ini akan menyediakan jualan harga runtuh produk eksklusif Kumpulan Utusan dan sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai barangan elektrik serta banyak lagi untuk dimenangi.

“Penganjuran program ini diharap dapat membongkar rahsia dunia hartanah dan mendedahkan peserta dengan ilmu berkaitan sekali gus menjadi platform berguna yang memberi maklumat tepat dan padat tentang cara memiliki kediaman serta pengurusan bijak perihal hartanah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

SHU 2017 bakal membawakan pelbagai topik menarik dan kupasan terperinci mengenai hartanah akan menampilkan 11 penceramah hartanah tersohor termasuk pe­juang hartanah, Ah­yat Khalissabri Ishak, Datuk Nazri Mustafa, Datuk Nor’ashikin Taib, Vince Chia dan ramai lagi.

Bukan itu sahaja, satu sesi coaching khas secara eksklusif bersama penceramah terpilih ia­itu Ahyat Khalissabri, Nor’ashikin, Mohd. Amin Mohd. Yusoff dan Abdul Aziz Ahmad akan turut diadakan pada 23 September bermula pukul 8 sehingga 10 malam dengan bayaran pendaftaran ha­nya RM50 dan terhad untuk 100 peserta terawal.

Peserta yang menyertai sesi berkenaan bukan sahaja mendapat peluang tambahan mempelajari ilmu hartanah secara lebih dekat dan terperinci bahkan akan menerima tawaran eksklusif langganan percuma akhbar digital Utusan selama dua tahun.