Pengurus Pengurusan Jenama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Hazura Ahmad Halil berkata, simposium anjuran bersama MMC Sdn. Bhd. akan menampilkan penceramah terkenal membincangkan topik mengenai pasaran hartanah dan misi membeli rumah termasuk pejuang hartanah, Ahyat Khalissabri Ishak, Datuk Nor’ashikin Taib, Datuk Nazri Mustafa, Vince Chia dan ramai lagi.

Katanya, orang ramai yang berminat menyertai simposium ini boleh mendaftar secara dalam talian di http://bit.ly/simposiumhartanahutusan2017 atau hadir terus ke meja urusetia untuk mendaftar.

“Simposium selama dua hari yang akan diadakan di Dewan Utusan Melayu, Jalan Utusan di sini dibuka percuma kepada semua pembaca setia Utusan Malaysia.

“Program ini diharap dapat membongkar rahsia dunia hartanah dan mendedahkan peserta dengan ilmu berkaitan sekali gus menjadi platform berguna yang memberi maklumat tepat dan padat tentang cara memiliki kediaman idaman serta pengurusan bijak perihal hartanah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain membawakan pelbagai topik menarik dan kupasan terpe­rinci mengenai hartanah, SHU 2017 yang berlangsung bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang turut menyediakan pelbagai aktiviti sampingan untuk direbut setiap peserta.

Antara aktiviti tersebut adalah jualan harga runtuh produk eksklusif Kumpulan Utusan dan sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai barangan elektrik serta banyak lagi untuk dimenangi.

Bukan itu sahaja, satu sesi coaching khas secara eksklusif bersama penceramah terpilih iaitu Ahyat Khalissabri, Nor’ashikin, Mohd. Amin Mohd. Yusoff dan Abdul Aziz Ahmad akan turut diadakan pada Sabtu ini bermula pukul 8 sehingga 10 malam dengan bayaran pendaftaran hanya RM50 dan terhad untuk 100 peserta terawal.

Peserta yang menyertai sesi berkenaan bukan sahaja mendapat peluang tambahan mempelajari ilmu hartanah secara lebih dekat dan terperinci, bahkan akan menerima tawaran eksklusif langganan percuma akhbar digital Utusan selama dua tahun.

Peserta juga berpeluang mendapatkan gambar kenangan hasil bidikan jurugambar profesional di mini studio Utusan semasa SHU 2017 berlangsung dengan bayaran serendah RM5 bagi seke­ping gambar berkualiti.