Tiga syarikat itu akan diketuai oleh individu yang mempunyai kemahiran dan pengalaman yang dikehendaki untuk menguruskan organisasi besar dan kompleks kerana integriti dan kepintaran perniagaannya.

Pengerusi Sime Darby, Tan Sri Abdul Ghani Othman berkata, pihaknya yakin bahawa ketiga-tiga syarikat berkenaan mempunyai kepemimpinan yang tepat untuk memimpin dalam masa yang mencabar ini.

“Tugas mereka adalah untuk mengembangkan perniagaan dan cabaran mereka adalah untuk mencapainya sambil memberikan pulangan yang konsisten untuk semua pihak berkepenti­ngan.

“Kepemimpinan baharu Sime Darby akan mencerminkan sifat perniagaan global yang mana 80 peratus perolehan disumbangkan dari perniagaan luar Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengerusi baharu bagi Sime Darby adalah Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah sementara Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan ialah Jeffri Salim Davidson.

Pengarah Urusan Sime Darby Motors adalah Datuk Lawrence Lee Cheow Hock; Pengarah Urusan Sime Darby Industrial, Scott William Cameron dan Pengarah Urusan Sime Darby Logistics, Timothy Lee Chi Tim.

Bagi Sime Darby Plantation Bhd., Pengerusinya, Abdul Ghani sementara Timbalan Pengerusi Eksekutif Dan Pengarah Urusan, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh.

Kepemimpinan eksekutif baharu unit perladangan itu seiring de­ngan matlamat syarikat untuk meningkatkan lagi produktiviti huluan dan kecemerlangan operasi, serta agresif mengembangkan sektor hilirannya.

Bagi Sime Darby Property Bhd., Pengerusinya adalah Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengarah Urusan, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Pengarah Eksekutif Dan Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Tong Poh Keow.