Mohd Bakke Salleh

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh berkata, langkah itu amat penting terutama dalam cadangan untuk menyusun semula organisasi supaya dapat memberi nilai kepada pemegang saham.

“Kami perlu memastikan setiap syarikat yang disenaraikan ini mempunyai struktur modal yang optimum bagi memboleh­kannya mencapai pertumbuhan dengan lebih fokus dan cepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pemegang sukuk, AS$400 juta (RM1.72 bilion) yang akan matang pada 2018 manakala selebihnya pada 2023, telah meluluskan pelan syarikat untuk membeli semula atau menggantikan penanggung kewajipan atau peminjam kepada Sime Darby Plantation daripada Sime Darby.

Penyusunan semula yang lebih besar dalam kumpulan melibatkan cadangan penyenaraian Sime Darby Plantation dan Sime Darby Property menerusi pengagihan saham.

Sime Darby bagaimanapun akan kekal disenaraikan dan memiliki perniagaan automotif, jentera perindustrian dan logistik.

Pada 18 April lalu, Sime Darby melancarkan amalan penyusun­an semula hutang bagi menyusun semula sukuk dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS).

Dalam proses berkenaan, pemegang sukuk boleh menunaikan pelaburan mereka di dalam sukuk atau bersetuju mengubah beberapa syarat dan terma serta menggantikan Sime Darby de­ngan Sime Darby Plantation sebagai penanggung kewajipan atau peminjam yang baharu.

Sime Darby menerima tender akhir dan membenarkan penyertaan sehingga 91 peratus dalam kedua-dua siri sukuk berkenaan. Di samping itu, pelabur yang memegang hampir satu perempat daripada sukuk 2023 memilih untuk kekal melabur dalam Sime Darby Plantation.