Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pihaknya turut optimis prestasi kewangan syarikat bagi tahun kewangan semasa akan kekal memuaskan dipacu oleh ketiga-tiga segmen tersebut.

Beliau berkata, selain itu aktiviti daripada sektor perlombongan dan pembinaan di Australia juga dijangka kekal kukuh de­ngan buku tempahan dan permintaan bagi penghantaran peralatan, bahagian dan perkhid­matan daripada pelanggan utama di semua segmen perniagaan juga tinggi.

“Kami juga menjangkakan momentum bagi bahagian permotoran akan berterusan de­ngan pelancaran beberapa lagi model baharu yang akan membantu meningkatkan jualan bagi suku ke­dua tahun kewangan 2019,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jeffri berkata, an­tara model yang dijangka dilancarkan termasuklah BMW 7 Series, Ford Ranger, Hyundai Tucson dan BMW X5.

Keuntungan bersih Sime Darby susut kepada RM225 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2019 berbanding RM1.32 bilion suku sama tahun sebelumnya.

Perolehan bagi operasi ber­terusan untuk suku pertama tahun kewangan 2019 adalah RM8.8 bilion, peningkatan 8.6 peratus tahun ke tahun.

Bahagian industri Sime Darby merekodkan PBIT berjumlah RM179 juta bagi suku di bawah semakan berbanding­ RM247 juta suku sa­ma tahun lalu.

Sementara itu, bahagian permotoran Sime Darby melaporkan PBIT bernilai RM105 juta bagi suku ini berbanding RM112 juta bagi suku pertama tahun kewa­ngan 2018.

Mengulas mengenai projek kereta nasional ketiga, Jeffri berkata, pihaknya tidak mengemukakan sebarang kertas cada­ngan berhubung projek ber­kenaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Kami bukannya syarikat pengeluar sebaliknya hanya merupakan pengedar bagi beberapa model-model terpilih,” katanya.