Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pelaksanaan korporat itu juga membolehkan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan ketiga-tiga entiti yang disenaraikan secara berasingan itu memberikan tumpuan yang lebih baik terhadap perniagaan teras masing-masing.

Selain itu katanya, ia juga akan mencipta nilai dan memberi manfaat kepada konglomerat berkenaan berikutan pihak pengurusan ketiga-tiga syarikat kini perlu mencapai sasaran yang ditetapkan selain perlu mengukur tahap prestasi mereka berbanding pesaing lain dalam industri masing-masing.

“Dengan langkah ini, kami percaya penciptaan nilai akan berlaku dan sejak pengumuman pengasingan dibuat, kami melihat harga saham dan modal pasaran semakin meningkat.

“Secara keseluruhannya, da­ripada perspektif pemegang saham dan perspektif Permodalan Nasional Bhd. (PNB) yang juga adalah pemegang saham utama dalam ketiga-tiga syarikat berkenaan, kami gembira kerana nilai telah dicipta,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyenaraian Sime Darby Property dan Sime Darby Plantation di Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Sime Darby, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Pengerusi Sime Darby Plantation, Tan Sri Abdul Ghani Othman; Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Tan Sri Seri Mohd Bakke Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Jeffri Salim Davidson dan Pe­ngarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan.

Tambah Abdul Wahid, Sime Darby Property juga kini sedang mengintai peluang untuk bekerjasama dengan pemaju lain bagi membangunkan bank tanahnya, termasuk menjual beberapa bidang ta­n­ah.

“Sime Darby Pro­perty kini memiliki lebih 8,093 hektar tanah di lokasi strategik seperti Lem­bah Klang dan beberapa kawasan di Iskandar, selain itu kita juga terbuka untuk membeli tanah di kawasan yang mempunyai potensi pertumbuhan seperti di wilayah pembangunan ekonomi, Malaysia Vision Valley, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang.

“Ini adalah kawasan bank tanah strategik yang kita boleh manfaatkan untuk pertumbuhan Kumpulan,” katanya.

Sementara itu Abdul Ghani dalam ucapannya berkata, pihaknya yakin Sime Darby Plantation dapat mengembangkan syarikat menjadi entiti yang lebih kuat untuk menjana pulangan mampan kepada semua pihak kepentingan melalui penyenaraian tersebut.

“Inisiatif ini akan membolehkan setiap perniagaan mencapai aspirasi berbeza dengan fokus dan keupayaan lebih baik dengan mengambil manfaat daripada potensi peluang pertumbuhan bagi memaksimumkan nilai kepada pemegang saham,” katanya.

Saham Sime Darby meningkat 55 sen kepada RM2.40 pada permulaan dagangan di Bursa Malaysia berbanding RM1.85 sebelum sesi dagangannya digantung  27 November lalu. 

Sementara itu Saham Sime Darby Plantation pula didagangkan pada RM5.60, meningkat satu sen daripada harga tawaran awal permulaan (IPO) RM5.59 manakala Sime Darby Property pula didagangkan pada RM1.30, susut 20 sen daripada harga IPO, RM1.50.

Pada sesi akhir dagangan hari ini saham Sime Darby, Sime Darby Property dan Sime Darby Plantation masing-masing ditutup pada harga RM2.35; RM1.20 dan RM5.01.