Ketua Pegawai Perolehan SilverPush, Kartik Mehta berkata, peluang untuk berkembang di Asia adalah besar memandangkan perolehan video dalam talian dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 21 peratus pada 2017 hingga 2022.

Katanya, pengguna di Asia Tenggara menghabiskan lebih banyak masa pada peranti mudah alih mereka berbanding orang ramai di kawasan-kawasan lain, justeru terdapat kenaikan berte­rusan dalam penembusan internet dan telefon pintar.

Jelas beliau, ini menggambarkan potensi dan peluang SilverPush untuk berkembang dengan memperkenalkan perkhidmatan lebih baik.

“Malah, perniagaan dalam pasaran Asia Tenggara matang dan menjadi lebih terbuka untuk

KARTIK MEHTA
KARTIK MEHTA 

mengintegrasikan teknologi baharu dalam strategi penonton jangkauan mereka.

“Kami merancang untuk memanfaatkan ini dan mengembangkan perniagaan kami di Malaysia dengan syarikat berskala besar mahupun sederhana bagi memperluaskan jenama mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kaedah pemasaran atau pengiklanan sebelum ini bersifat rawak dan tidak mencapai ­pelanggan sasaran yang sebenar.

Ujar Kartik, berbeza dengan produk terbaharu kumpulan, ‘Mirrors’ yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), ia mampu mengenal pasti logo jenama, muka, emosi dan objek di dalam video.

“Pernahkah anda menonton video di dalam talian dan terdapat iklan berkaitan sesuatu produk atau jenama? Kadang kala sesuatu produk yang diiklankan itu tidak menarik perhatian anda.

“Dengan Mirrors, jika seseorang individu menonton video kecantikan, ia akan memaparkan iklan produk kecantikan pada waktu itu seterusnya mencapai kumpulan sasaran,” katanya.

SilverPush berpangkalan di Mumbai, India dan mempunyai operasi di Asia Tenggara, Afrika Selatan, Tanzania, Jepun, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Antara syarikat global yang menggunakan perkhidmatan SilverPush adalah Coca Cola, Chevrolet, Samsung, Ford, McDonalds dan Spotify.