Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, platform e-dagang tersebut hanya memerlukan tempoh masa satu jam enam minit untuk memecahkan rekod bilangan tempahan tahun lalu dengan jenama seperti e-Kedai Mesra Petronas, Nestle dan Watsons menunjukkan prestasi jualan terbaik.

Menurutnya, lebih 500,000 produk telah terjual di Malaysia apabila pengguna menggunakan kesempatan ke atas pelbagai promosi hebat menerusi enam juta produk dalam kempen ‘Jualan Murah 12.12,’ jualan kilat dan ‘Kemuncak Berganda’ yang menjadi sebahagian sambutan bersempena ulang tahunnya.

“Kami teruja dapat be­kerjasama dengan jenama terkemuka termasuk Petronas, Digi, Havaianas dan MR. DIY yang menyumbang pada kejayaan kempen ulang tahun kali ini dengan kebanyakan jenama berkenaan telah memilih Shopee sebagai rakan e-dagang pertama mereka.

“Kebanyakan jenama tersebut juga telah berjaya mencatatkan peningkatan jualan yang tinggi iaitu sehingga 100 kali ganda berbanding hari biasa dan kami berharap dapat meneruskan usahasama se­perti ini pada kempen dan promosi akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ho, transaksi tertinggi yang direkodkan dalam kempen jualan murah 12.12 tahun ini berjumlah RM15,000 ma­nakala penghantaran paling jauh bagi satu pesanan lebih 4,500 kilome­ter iaitu dari Goseong Gun, Korea Selatan ke Johor Bahru.

Dalam pada itu, Ho berkata, Shopee akan meneruskan pemberian hadiah sempena ulang tahunnya sehingga 31 Disember ini dengan pengguna berpeluang memenangi percutian untuk dua orang ke Honolulu, Hawaii yang bernilai lebih RM15,000 dan sebuah iPhone X bernilai RM5,500.

Beliau berkata, pelanggan hanya perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM100 dan membuat pembayaran secara perbankan dalam talian FPX untuk melayakkan diri memenangi hadiah yang ditawarkan.

“Shopee juga akan me­lancarkan kempen Kembali ke Sekolah dari 18 hingga 24 Disember ini sebagai persediaan persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi.

“Promosi ini akan membariskan pelbagai jenis barang kelengkapan persekolahan termasuk alat tulis, buku teks dan aksesori pada harga menarik tidak lebih daripada RM30.

“Kedai rasmi seperti Pilot, Stabilo, Nestle, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kedai Buku Borders akan turut menyertai kempen ini dengan menawarkan harga eksklusif dan baucar kepada pelanggan,” ujar beliau.