Pengarah Urusannya, Shairan Huzani Husain berkata, bahagian hiliran Shell Malaysia meliputi peruncitan, komersial dan pelincir akan memberi sumbangan signifikan kepada syarikat.

Katanya, penawaran pelbagai jenis makanan seperti pastri dan kopi di stesen minyak adalah se­iring dengan gaya hidup masyarakat hari ini yang sibuk melaksanakan tugas harian.

Jelas beliau, sehingga kini, Shell Malaysia telah bekerjasama dengan lebih 25 jenama tempatan dan antarabangsa dalam sektor F&B sebagai sebahagian daripada usaha menawarkan pelbagai pilihan kepada pelanggan.

“Kami menyasarkan sebanyak 800 stesen minyak Shell akan menawarkan kemudahan F&B dalam tempoh dua tahun berbanding 600 stesen sedia ada ketika ini.

“Kami merancang mem­-
pertingkatkan hasil sumbangan daripada segmen perniagaan bukan bahan bakar untuk mencapai portfolio lebih seimbang pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sejak dua tahun lalu, Shell Malaysia telah me­labur lebih RM100 juta untuk menambah baik kemudahan di stesen minyaknya di seluruh negara termasuk penyediaan surau, tandas dan ruang niaga yang lebih selesa.

Shell Malaysia baru-baru ini menjalinkan kerjasama dengan Costa Express, iaitu sebahagian daripada rantaian perniagaan Costa Coffee untuk menawarkan mesin kopi layan diri di stesen minyak Shell.

Costa Express akan me­la­bur kira-kira 5 juta pound (RM27.9 juta) untuk menyediakan sebanyak 200 mesin Costa Coffee layan diri di cawa­ngan Shell Select seluruh negara menje­lang pertengahan 2018.

Kerjasama Costa Coffee dan Shell memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak kerana memberikan kemudahan kepada pelanggan mendapatkan makanan dan minuman di bawah satu bumbung.