Menurut Khazanah, Shahril Ridza, 48, kini masih lagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan memegang jawatan tersebut sejak 16 April 2013.

“Khazanah turut ingin mengalu-alukan pelantikan pengerusi serta ahli-ahli lembaga pengarah baharu seperti yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 30 Julai 2018.

“Di samping itu, Khazanah ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada bekas ahli-ahli lembaga pe­ng­arah serta Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar atas khidmat dan sumbangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, laporan portal berbahasa Inggeris, The Edge yang memetik sumber menyatakan Shahril Ridza adalah antara individu yang dipertimbangkan untuk menggantikan Azman sebagai Pengarah Urusan selepas beliau bersama lapan lagi Ahli Lembaga Pengarah Khazanah meletak jawatan minggu lalu.

Selain Shahril Ridza, turut dinamakan empat lagi calon iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor Inc., Raja Shahreen Raja Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Deutsche Bank (Malaysia), Datuk Yusof Annuar Yaacob; Pengarah Urusan Malaysian Industrial Development Finance Bhd, Datuk Charon Mokhzani dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Bhd., Datuk Mohd. Zafer Mohd. Hasim.

Isnin lalu, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelantikan baharu Ahli Lembaga Pengarah Khazanah yang dite­rajui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi baharu.

Khazanah berkata, Shahril Ridza mempunyai pengalaman luas dengan sebelum itu menjawat jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) di KWSP.

“Sebelum menyertai KWSP, beliau adalah Pengarah Urusan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang bertanggungjawab membangunkan KL Sentral menjadi satu daripada pusat komersial utama di negara ini.

“Beliau juga pernah berkhidmat di Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dan terlibat dalam pemulihan korporat dan penstrukturan semula kredit berikutan Krisis Kewangan Asia pada 1997.

“Shahril Ridza juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif di Media Prima Berhad, Malaysia Building Society Berhad, Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, MRCB dan IJN Holdings Sdn. Bhd.,” katanya.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana (Kelas Pertama) daripada Universiti Cambridge dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Sivil (Kelas Pertama) daripada Universiti Oxford serta telah diterima masuk ke Bar Malaysia serta Bar England dan Wales.

Sementara itu, KWSP dalam kenyataan memberitahu, Shahril Ridza akan kekal menerajui dana pencen tersebut sehingga melapor diri di Khazanah pada 20 Ogos ini.

“Sehingga tempoh itu, beliau akan terus kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP bagi memastikan kesinambungan dan penyerahan tugas yang lancar,” katanya.