Bercakap kepada akhbar The Edge Financial Daily, Shahril mengesahkan kewujudan perjanjian berkenaan dan ia menjadi sebab bagi pakej imbuhannya yang tinggi.

“Ya kami telah menerangkan perkara ini dalam mesyuarat agung tahunan (AGM). Memang benar sebahagian daripada pakej imbuhan tersebut adalah bagi perjanjian saham yang te­lah mengunci saham milik saya dalam Sapura Energy.

“Ini bermakna, jika saya menjual pegangan saham milik saya (di bawah 10 pe­ra­tus), pinjaman akan terbatal. Jika saya meletakkan jawatan (sebagai CEO) juga akan menyebabkan pinjaman itu terbatal,” katanya.

Pada AGM Sapura Energy kelmarin, Shahril disoal mengenai bayaran gajinya yang tinggi iaitu sebanyak RM71.92 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2018 dan RM84.24 juta bagi tahun kewangan 2017.

Shahril merupakan pemegang saham terbesar Sapura Energy dengan 15.9 peratus penguasaan. Bagaimanapun perjanjian saham tersebut tidak dijelaskan di dalam laporan tahunan Sapura Energy.

Shahril sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak meminta bayaran gaji yang tinggi.

“Gaji saya ditentukan oleh lembaga pengarah. Lembaga adalah bebas. Saya tidak meminta­nya. Mereka yang memutuskan perkara ini.

“Apabila ada pihak yang menawarkan perkara tersebut kepada saya, sudah tentu saya meneri­manya. Saya hanya pegawai di syarikat berkenaan dan saya sanggup lakukannya.

“Saya boleh saja menjual saham saya pada harga RM4 tapi saya tidak berbuat demikian, saya tidak menjual mana-mana saham, peluang untuk mendapatkan ganjaran (ketika menjual saham) adalah lebih besar daripada pampasan,” katanya.

Harga saham Sapura Energy tidak terlepas dari tekanan jualan di tengah-tengah kemelesetan industri yang berpanjangan yang bermula pada akhir 2014.

Harga sahamnya memuncak pada RM4.84 pada akhir Disember 2013. Saham itu jatuh kepada rekod terendah iaitu sebanyak 41 sen pada pertengahan bulan Mac . Ia ditutup pada 60 sen semalam.

Shahril menegaskan bahawa jawatankuasa imbuhan kumpulan telah membuat cadangan kepada lembaga dan lembaga akan memutuskan cadangan itu.

Jawatankuasa imbuhan lembaga Sapura Energy terdiri daripada pengerusinya Datuk Hamzah Bakar, Pengarah Bebas Mohamed Rashdi Mohamed Ghazalli dan Shahril.

Mengenai perjanjian saham itu, ia bermula pada tahun kewangan 2014, menurut Shahril.

“Dengan pembiayaan semula pinjaman, kami berjaya mendapatkan kadar yang lebih baik de­ngan purata kira-kira lima peratus berbanding dengan yang lain dalam industri yang membayar enam hingga tujuh peratus,” katanya.

Laporan tahunan kumpulan menunjukkan gaji Shahril adalah melebihi RM80 juta untuk tempoh di antara tahun kewangan 2014 dan tahun kewangan 2017.

Bagaimanapun, pakej ganjarannya menyusut sedikit kepada RM71.92 juta pada tahun kewa­ngan 2018 apabila kumpulan itu mengalami kerugian bersih sebanyak RM2.5 bilion, diseret oleh peruntukan kecacatan RM2.13 bilion yang besar.

“Mereka (pemegang saham) berkata, gaji saya terlalu tinggi. Sebagai pemegang saham, saya menghormatinya. Tetapi satu perkara yang tidak dilihat oleh orang adalah usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan untuk pertumbuhan masa depan,” kata Shahril.

“Syarikat itu harus diukur berbanding dengan orang lain yang berkembang di dalam dan luar negara. Pemegang saham juga harus menilai kami dalam istilah bukan kewangan, contohnya kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) yang dimenangi di Mexico dan projek baharu yang kami dapatkan di Brazil yang menyumbang lebih banyak untuk pertumbuhan masa depan,” kata Shahril.