Secara jujur, kehidupan yang saya miliki sekarang bukan untuk diri sendiri tapi juga untuk kebahagiaan orang lain. Saya sangat berpegang dengan hadis daripada Rasulullah bahawa tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah dan juga ayat al-Quran 3:110.

1. Kesibukan diisi dengan perkara yang bermanfaat.

Di sebalik kesibukan sebagai pelajar yang ingin berjaya dalam akademik, saya juga mengaktifkan diri dalam bidang sukarelawan dan keusahawanan. Jutaan terima kasih kepada semua cikgu dan pensyarah yang terlalu banyak membimbing untuk ber­ada di tahap ini.

Secara purata, setiap bulan saya akan pergi ke kolej-kolej matrikulasi berbeza secara mingguan. Contohnya, Kolej Matrikulasi Johor, Kolej Matrikulasi Selangor, Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kolej Matrikulasi Melaka, Asasi Sains Pertanian dan pelbagai lagi.

Hujung minggu saya tidak lagi diisi dengan jalan-jalan, berehat dan bersantai di bilik, tetapi saya memilih untuk datang ke kolej-kolej matrikulasi dan beberapa asasi untuk berkongsi pengalaman berjaya dalam akademik, mengusahakan perniagaan sendiri dan juga cara menyeimbangkan hubungan dengan Allah.

2. Didikan yang diterima diturunkan kepada orang lain.

Saya sangat bahagia melihat perubahan akademik mereka, sebagai contoh daripada tiga pointer meningkat menjadi 3.5 ke atas. Ditambah pula apabila perubahan diri daripada seorang yang introvert mula bertukar menjadi extrovert, seorang yang agak sosial mula bertukar menjadi wanita yang menjaga batas, seorang yang tidak bijak mengurus masa kepada seorang yang multitasker.

Saya mendidik mereka atas sukarela dengan bimbingan daripada mentor-mentor Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) yang telah melahirkan ramai pemilik anugerah-anugerah universiti. Sebagai contoh, Anugerah Pingat Diraja, Anuge­rah Canselor, Anugerah Timbalan Canselor dan pelbagai lagi.

3. Perubahan yang membawa kepada kejayaan.

Kini saya boleh berdikari, mampu mengetuai sesuatu organisasi dan paling utama, saya mula berubah menjadi seorang yang mengenal Islam sebenar. Bukan itu sahaja, kami juga dilatih untuk berniaga dan kini saya mempunyai bisnes tekstil (AlQeesha) bersama-sama kawan saya.

Sekiranya hendak dibahaskan mengenai kesibukan, memang tidak dinafikan, saya memang sibuk. Tetapi ilmu yang diperoleh untuk mengurus masa mengikut keutamaan sangat dipraktikkan untuk membantu menyeimbangkan tanggungjawab yang lain.

4. Kesungguhan pasti membuahkan hasil.

Pada 2016, kami berjaya mencapai jualan puluhan ribu yang tidak disangka sebagai seorang pelajar. Alhamdulillah, rezeki yang diperoleh digunakan untuk menyara kehidupan di universiti, keperluan untuk ke kolej-kolej matrikulasi, keluarga di Sabah dan juga sedikit simpanan untuk akan datang.

Kini, saya memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Elektronik Fizik dan semua ini atas dorongan dan bimbingan daripada yayasan yang menekankan tentang kepentingan ilmu.

Pada 2017 ini, saya sudah mencetak buku sendiri yang bertajuk Success Secret Revealed 2.0, keluaran Synergy Media. Saya ingin membuktikan kepada kawan-kawan yang lain bahawa kesibukan bukan alasan untuk tidak menjadi produktif.

Sebenarnya, ia adalah impak daripada keinginan yang tinggi dan kesungguhan serta keyakinan kepada bantuan dan izin Allah.

5. Bahagia dengan pilihan sendiri.

Sukar untuk digambarkan, tetapi pengalaman semasa menjadi mentor kepada tiga kolej matrikulasi atau asasi sangat mencabar dari segi disiplin dalam pengurusan masa, daya berfikir secara kritis dan kreatif untuk menyelesaikan masalah orang lain, kewangan dan pelbagai lagi.

Kata Umar Al Khatab, masa ibarat pedang. Sekiranya bukan kamu yang memintasnya, maka ia akan memenggal kamu. Setiap masa yang saya miliki, saya usahakan untuk digunakan sebaik mungkin bagi seimbangkan akademik saya dan juga komitmen yang saya pilih.

Namun, saya bahagia atas apa yang saya pilih dan kebahagiaan itu saya peroleh di sebalik kepenatan dan kebahagiaan orang lain.

AZLINA TAJUDDIN adalah pelajar tahun 1, Master Fizik Gunaan Fakulti Sains.