Dengan pemasaran yang bijak, anda mampu membuatkan perniagaan berkembang dengan lebih cepat berbanding biasa, secara organik. Maksud perkembangan organik ialah hasil yang diperoleh daripada usaha-usaha dalaman yang dilakukan seperti pemasaran berkualiti, penjualan yang semakin baik dan penambahan pelanggan berbayar. Sekiranya perniagaan anda berkembang melalui pembelian syarikat lain, memperolehi dana daripada orang luar ataupun penggabu­ngan dengan syarikat lain, ini bukan perkembangan organik.

Untuk memperoleh perkembangan secara organik, ia me­ngambil masa mendapatkan momentum yang baik dan konsisten. Ramai yang sering berbisik pada diri sendiri, bukan senang untuk menjalankan perniagaan terutama perniagaan kecil. Daripada faktor modal yang tidak seberapa, kepada faktor utama bagaimana mendapatkan para pelanggan berbayar yang setia membeli daripada anda, semua ini bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi memikirkan kaedah bagaimana mempercepatkan per­kembangan organik perniagaan anda dengan cara yang paling kos efektif, iaitu tanpa menggunakan wang yang banyak.

Mungkin anda boleh pertimbangkan cadangan di bawah ini bagi tujuan tersebut.

Strategi

Semuanya bermula di sini. Ramai yang terjun ke alam perniagaan tanpa sebarang strategi dan merungut bila tidak bersedia berhadapan dengan pelbagai senario perniagaan yang tidak menentu. Akhirnya perniagaan ditutup walaupun tidak sampai setahun berniaga. Strategi bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main, malah ia perlu dilakukan dengan betul. Dan ini mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan versi yang betul-betul kuat. Saranan saya, anda tidak boleh melakukannya sendirian. Anda perlu mendapatkan pertolongan daripada seseorang yang ber­pe­nga­laman dalam pemasaran.

Laman web

Sekiranya anda mempunyai sedikit wang untuk membuat pelaburan dalam perniagaan, mulakan dengan laman web. Hanya dengan platform ini, jenama anda akan mudah dicari di Google.

Facebook Messenger

Perniagaan anda sudah pasti mempunyai media sosial sendiri untuk mengedarkan mesej-mesej kepada para pengguna tetapi tidak ramai yang perasan tentang kepentingan peranan Facebook Messenger. Siapkan Facebook Messenger untuk laman perniagaan Facebook anda, agar mudah untuk berinteraksi dengan para pengguna. Dengan Facebook Messenger, kini tidak perlu lagi mendedahkan nama sendiri dan juga nombor telefon peribadi anda.

Proses

Bila ada pengguna yang ingin membeli, baru kelam-kabut hendak memikirkan siapa yang sepatutnya kendalikan itu dan ini, apa yang perlu dijawab, bagaimana hendak menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh pengguna, siapa yang perlu menjawab dan sebagai­nya. Ini semua bakal menjadikan jenama anda sebagai tidak profesional di mata pelanggan. Proses-proses dan siapakah yang bertanggungjawab terhadap setiap gerak kerja perlu dise­lesaikan terlebih dahulu pada peringkat strategi lagi.

Penggunaan bahasa

Sekiranya inginkan setiap status yang anda muat naik itu pergi lebih jauh, seelok-elok­nya anda menggunakan bahasa yang digunakan oleh sasaran pasaran anda. Kalau pelanggan anda lebih kepada bangsa ter­tentu, gunakan bahasa mereka.

Kandungan daripada pengguna

Kebanyakan jenama akan memuat naik status mereka sendiri dalam media sosial. Ini normal tetapi membosankan. Sebab itu, ia tidak dapat pergi jauh. Tetapi kali ini, cuba anda minta kebenaran pengguna-pengguna media sosial lain yang sesuai dengan jenama anda untuk memuat naik kandungan mereka ke laman media sosial anda. Lihat hasilnya, tentu anda teruja kerana ia mampu pergi lebih jauh daripada biasa.

Iklan berbayar

Tiada jenama yang dapat lari daripada menggunakan iklan berbayar sekiranya mereka ingin­kan mesej yang ingin di­sam­paikan ke luar dengan lebih jauh daripada komuniti yang ada. Jadi, anda perlu sediakan sedikit peruntukan kewangan untuk iklan terutama di Facebook.

Bekerjasama

Menjalankan perniagaan dan pemasaran secara solo bagus, tetapi tidak akan dapat pergi jauh. Dalam era internet ini, kerjasama dengan syarikat atau individu lain dengan hasrat yang sama dengan perniagaan anda, aktiviti dan promosi yang dijalankan, mampu bergerak dengan lebih cepat lagi.

Meminta pertolongan

Sekiranya anda tidak pasti tentang strategi dan cara penggunaan media sosial yang efektif, dapatkan pertolongan segera sebelum terlambat.