Menurut DRB-Hicom, sektor automotif menjadi penyumbang utama kepada perolehan tersebut, dirangsang oleh pelancaran pelbagai model baharu daripada syarikat milik penuhnya, Proton Holdings Berhad.

Jelasnya, Proton telah menyaksikan peningkatan jualan dalam suku terakhir 2016 dengan 22,199 buah kenderaan dalam suku ketiga tahun kewangan 2016 berbanding hanya 14,364 buah pada suku sebelumnya.

Tambah DRB-Hicom, walaupun prestasi Proton bertambah baik, namun keseluruhan sektor automotif negara mencatatkan penurunan jumlah dagangan sebanyak 13 peratus dari tahun ke tahun, penguncupan pertama selepas mengalami pertumbuhan selama enam tahun berturut-turut.

“Prestasi jualan industri automotif dijangka meningkat sedikit tahun ini melalui pelancaran model-model baharu serta peningkatan dalam projek pembinaan seluruh negara.

“Pencarian rakan kongsi strategi asing (FSP) untuk Proton pula dijangka akan dimuktamadkan pada pertengahan pertama tahun ini yang dapat memberi keupayaan kepada Proton bagi memperluaskan pasaran luar selain akses kepada teknologi baharu yang lebih baik,” menurut syarikat berkenaan dalam kenyataan di sini hari ini.