Sekolah berkenaan menawarkan sistem pendidikan berteraskan kokurikulum British National yang digabungkan dengan beberapa sistem pendidikan terbaik dunia.

Pengarah Genius Aulad International Group Sdn. Bhd., Zaliza Alias berkata, pihaknya mengenakan yuran bulanan berpatutan sebanyak RM900 sekali gus menjadikannya sebagai alternatif kepada sekolah swasta lain yang mengenakan yuran agak tinggi.

"Hari ini apabila anak kita tamat tadika, mereka seakan tiada pilihan untuk bersekolah sama ada di sekolah kebangsaan yang kurang kemudahan seperti makmal, bilangan murid yang terlalu padat atau tidak mempunyai padang permainan serta kelengkapan lain yang kurang memuaskan.

“Di Sekolah Idrissi kita mewujudkan suasana pembelajaran yang ceria seperti berada di rumah sendiri.

“Bagi menyuntik keceriaan murid-murid, kami menawarkan suasana pembelajaran sebagaimana sekolah antarabangsa lain yang mana terdapat permainan anjung dan laman selain gelanggang untuk futsal, bola keranjang, badminton dan memanah," katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, di situ, murid-murid digalakkan untuk melaksana pembelajaran secara ‘output learning’ yang mana mereka boleh mempraktikkan apa yang dipelajari di dalam kelas termasuk penyediaan makmal kejuruteraan berteknologi dari Jerman.

Jelasnya, bagi menggalakkan murid menghargai alam sekitar, pihaknya akan mengadakan aktiviti 'patch-farming' atau berladang secara kecil-kecilan malahan mereka sendiri boleh memasak hasil pertanian yang ditanamnya di makmal `Eco-Backyard Science'.

"Oleh sebab itu kedua blok bangunan sekolah ini dijadikan bangunan lestari yang disesuaikan dengan aktiviti hijau dan mesra alam.

"Kita juga ada rakan pembelajaran seperti Landskap Malaysia yang diterajui Tun Jeanne Abdullah dan Persatuan Pelindungan Alam Sekitar (Peka) yang akan membantu dari segi penyediaan pokok-pokok untuk ditanam di surau, rumah anak yatim atau tepi sungai dan ini secara tidak langsung melibatkan murid-murid dengan aktiviti kemasyarakatan," katanya.

Sekolah Idrissi terletak di No. 15, Jalan Setia Dagang AK U13/AK, 7th Avenue, Seksyen U13, Setia Alam, Shah Alam, Selangor.

Untuk maklumat lanjut boleh layari www.idrissischool.com atau hubungi talian 03-3364216.