Antara yang memberi impak paling besar setakat ini ialah apa yang berlaku di Felda apabila pendedahan demi pendedahan dibuat oleh Tan Sri Shahrir Samad yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru selepas dilantik memegang jawatan Pengerusi Felda.

Namun selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Shahrir meletak jawatan secara terhormat walaupun sebelum ini beliau berusaha membersihkan imej Felda terutamanya melibatkan isu penjualan tanah di Jalan Semarak.

Langkah beliau itu secara tidak langsung dilihat senada dengan kenyataan yang dikeluarkan Majlis Penasihat Kerajaan yang diketuai Tun Daim Zainuddin yang mahukan kedudukan ahli lembaga pe­ngarah yang mempunyai kaitan dengan politik dikaji.

Dalam kenyataan 13 Mei lalu, GLC dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) yang mempunyai kaitan dari segi politik di peringkat lembaga pengarah masing-masing, akan dikaji semula dan diubah bergantung kepada keperluan, selain menekankan kepada kepentingan prestasi yang baik dan profesional.

Majlis Penasihat Kerajaan dalam tempoh 100 hari akan memanfaatkan GLIC dan GLC yang mana sesuai untuk membantu dari segi maklumat, sumber dan input bagi mena­ngani pelbagai isu yang digariskan oleh kerajaan.

Isu berkenaan termasuk, antara lain, kajian semula dana dan syarikat tertentu, kajian semula projek, kontrak dan jalan bertol; bidang yang mana GLIC dan GLC akan mempu­nyai kepakaran dan sumber tertentu dan relevan.

Maka tidak hairanlah apabila Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Hol­dings Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad yang bertemu di majlis tersebut kemudiannya ternyata gembira dengan perkara itu dan menyifatkan ‘masa depan FGV akan lebih bersinar.’

Kita semua tahu apa yang dilalui FGV sepanjang tahun lalu dan tidak salah untuk meletakkannya sebagai contoh kepada syarikat yang mempunyai masalah dari segi tadbir urus kerana begitu banyak gangguan dalaman.

Bagaimanapun, FGV kemudiannya dapat bangkit semula selepas isu tadbir urus itu dapat ditangani dengan berhemah.

Pergolakan dalaman syarikat perladangan milik Felda itu seolah-olah tamat apabila Tan Sri Isa Mohd. Isa Abdul Samad meletakkan jawatan pada 19 Jun lalu diikuti beberapa ahli lembaga pengarah yang lain (yang juga dikaitkan dengan politik).

Selain Felda mahupun FGV, satu lagi entiti kerajaan yang kerap dipersoalkan tahap integriti dan tadbir urus ialah Lembaga Tabung Haji.

Namun. setakat artikel ini ditulis, belum ada lagi gerakan secara ketara peletakan jawatan secara besar-besaran melibatkan GLC dan GLIC.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini melaporkan dua ahli lembaga pengarah­nya meletak jawatan selepas kenya­taan tersebut dikeluarkan manakala Axiata Berhad pula telah lama mengamalkan dasar yang memisahkan antara operasi perniagaan dengan politik.

Walaupun ‘operasi pemutihan’ ini belum dijalankan secara menyeluruh lagi dengan banyak pihak masih mengambil sikap tunggu dan lihat, sejauh mana langkah ini boleh membantu membersihkan GLC?

Adakah relevan dengan mengeluarkan ‘orang’ kerajaan terdahulu dan kemudiannya menggantikan dengan ‘orang’ daripada parti pemerintah ketika ini? Jika demikian, apakah ia boleh menjamin ketelusan dan peranan GLC pada masa depan?

Jika mahu bersihkan, cuci sehingga benar-benar bersih. Bukan setakat menukar orang tetapi ‘jenama’ yang berbeza. Ini kerana merekalah kumpulan pertama yang akan ‘angkat kaki’ jika sesebuah syarikat bermasalah.

GLC dan GLIC mempunyai tanggungjawab besar kepada negara. Mungkin sudah tiba masanya ahli lembaga pengarah benar-benar terdiri daripada kalangan profesional dan mempunyai latar belakang sewajarnya yang mampu melonjakkan prestasi syarikat-syarikat tersebut.