Sektor eDagang adalah antara industri yang paling pesat berkembang dan paling menarik di Malaysia. Anggaran terkini oleh Statista mendedahkan bahawa platform eDagang telah memperoleh hasil sebanyak RM4.2 bilion menje­lang akhir tahun 2017. Tambahan pula, industri ini dijangka berkembang dan memperoleh pendapatan sebanyak RM9.8 bilion menjelang tahun 2022.

Penggunaan e-dagang pada tahun-tahun yang lalu telah meningkat juga disebabkan oleh peningkatan pengguna internet. Pada tahun 2017, terdapat 15.1 juta pengguna aktif di Malaysia yang terdiri daripada 47.9 peratus daripada penduduk di Malaysia. Dengan pengenalan pelan internet dan broadband yang lebih berpatutan saban tahun, bilangan pengguna internet dijangka meningkat pada masa depan.

Faktor utama yang menjana kebangkitan eDagang ialah kewujudan produk dan perkhid­matan menarik yang tidak disediakan oleh perniagaan konvensional. Jika kita lihat kembali 10 tahun yang lalu, semasa pengguna masih tidak biasa dengan sektor eDagang, ramai yang berasa kurang selamat untuk melakukan pembelian dengan memasukkan kad kredit atau butiran bank ke dalam talian.

Jadi bagaimana kita berubah daripada orang yang tidak percaya terhadap transaksi eDagang ke pembeli yang ke­rap menggunakan barangan di dalam talian? Pada minggu-minggu yang akan datang, saya akan berkongsi pemerhatian saya tentang bagaimana industri membeli-belah dalam talian menjadi semakin popular di Malaysia dan kisah kejayaan beberapa peniaga eDagang untuk memberi inspirasi kepada usahawan tempatan.

2008-2011: Kebangkitan eDagang

Penggunaan eDagang semasa tahun 2000 telah dirangsang oleh peningkatan perkhidmatan internet dan penggunaan komputer peribadi di rumah dan pejabat. Satu kajian oleh Multimedia University Malaysia menyatakan bahawa eDagang memperoleh potensi pertumbuhan yang tinggi disebabkan oleh peningkatan pesat dalam bilangan pengguna komputer dan perkhidmatan internet yang lebih laju setiap tahun.

Platform C2C (pengguna kepada pengguna) seperti eBay dan Lelong juga telah menjadi sangat popular pada era ini kerana mereka memberikan kemampuan kepada individu untuk membeli produk secara mudah dan selamat. Pengguna yang tidak selesa menggunakan gerbang pembayaran yang kebanyakannya memerlukan pembayaran melalui kad debit atau kredit kini boleh membeli atau menjual barangan melalui kaedah tunai (COD). Justeru, pengguna sudah mempunyai pilihan untuk tidak memasukkan butiran kad kredit mereka serta dapat bersemuka dengan para penjual untuk menerima produk.

Platform eDagang yang wujud pada era ini memberi pengalaman pertama membeli-belah secara dalam talian kepada majoriti rakyat Malaysia. Ini membuka jalan kepada peniaga untuk menjual barang-barang mereka secara dalam talian tanpa memerlukan kedai fizikal. Populariti platform C2C juga mendorong penggunaan gerbang pembayaran dan kaedah pembayaran dalam talian yang lain. eBay, yang menyediakan akses Malaysia kepada produk yang dijual di luar negara, menjadikannya mandatori untuk pengguna yang mendaftar sebagai ahli untuk menggunakan gerbang pembayaran utamanya, PayPal. Ini menggalakkan penggunaan pindahan bank, kredit dan kad debit dalam talian pada tahun-tahun berikutnya.

Tahun 2000-an juga me­nyaksikan kebangkitan kedai dalam talian di laman blog yang menjual barang-barang daripada produk teknologi ke fesyen. Blogging menjadi sangat popular pada pertengahan 2000-an, yang mana sesiapa pun boleh berkongsi pemikiran, idea atau jual item mereka secara mudah.

Di antara banyak penulis blog popular ialah Vivy Yusof yang merupakan pengasas kedai dalam talian bernama Fashion Valet pada tahun 2010. Vivy memulakan blog semasa tahun 2000 di bawah domain proudduck.com dan sering berkongsi pemikirannya mengenai topik seperti cinta, kehidupan, kerjaya, keluarga dan keibubapa­an.

Suami Vivy, Fadzarudin Anuar (yang merupakan teman lelaki beliau pada tahun 2000-an), melihat peluang eDagang dan mula menjual produk fe­s­yen berasaskan peminat Vivy di Fashion Valet. Dalam beberapa tahun sahaja, mereka telah menjadi antara kedai fesyen dalam talian yang paling ba­nyak dikunjungi di Malaysia dan memberi inspirasi kepada orang lain juga.

Menjelang 2011, eDagang menerima peningkatan besar pembeli dalam talian dengan pe­ngenalan tawaran menarik dan promosi seperti kupon diskaun oleh Groupon. Ini menetapkan asas penting untuk e-dagang di negara ini juga. Pada tahun-tahun yang akan datang, rakyat Malaysia akan melihat pengenalan lebih banyak kedai dalam talian seperti Lazada, Zalora, 11Street, dan banyak lagi.

Minggu depan, saya akan membincangkan tentang kisah kejayaan Lazada dan pengenalan pelbagai kedai dalam talian yang menjadi antara laman web paling popular di Malaysia.

NOTA PENGARANG:

Mulai hari ini, Utusanbiz akan menyiarkan ruangan khas Dunia eDagang oleh Pemasar Kandungan Kanan iPrice Group, Jeremy Chew dari iPrice Group, khusus mengenai aktiviti dunia edagang di Malaysia dan trend global yang boleh menjadi rujukan terutama peniaga dalam talian dan PKS.