Walau bagaimanapun, terdapat juga keadaan yang mana ia tidak akan berlaku sekali lagi atau harga saham itu tidak akan naik semula pada paras tertinggi yang pernah dicapai di dalam sejarah saham syarikat tersenarai tersebut.

Selain dari itu, sejarah berulang boleh juga dilihat pada trend-trend yang berlaku berulang-ulang kali sepanjang satu tahun. Satu contoh yang sangat jelas ialah semasa menghampiri perayaan Tahun Baharu Cina atau setiap awal tahun baharu yang mana pasaran menjadi aktif dalam aliran menaik.

Sekiranya kita menghu­bung-kaitkan sejarah berulang pa­da sikap atau tingkah-laku pe­labur dan pedagang saham, kita juga akan melihat satu corak yang hampir sama berlaku berulang-ulang kali ketika pasaran naik dan turun. Keadaan ini boleh dilihat dan juga diceritakan oleh pengikut Cikgu Saham di media sosial Facebook yang mana untung rugi ditentukan oleh turun naik pasaran.

Ketika pasaran dibuka selepas keputusan PRU-14 diumumkan, terdapat beberapa syarikat tersenarai tertentu mengalami kejatuhan secara limit down. Semasa kejadian ini, pelabur dan pedagang di media sosial kebanyakannya mengalami kerugian sama ada kerugian sebenar atau kerugian di atas kertas. Agak sukar kita menemui pelabur dan pedagang saham yang terlepas impak peralihan kuasa daripada Barisan Nasional ke Pakatan Harapan.

Sekiranya ada, bilangan tersebut amatlah kecil kerana ketika itu kebanyakan orang yang membuat pelaburan jangka pendek, sederhana mahupun panjang sebelum PRU-14 tidak melupuskan pegangan saham di dalam portfolio mereka kerana tidak menjangkakan keadaan ini akan berlaku yang menyaksikan kejatuhan pasaran saham pada PRU-14.

Dan ketika pasaran mengalami aliran menaik pada perte­ngahan Julai sehingga ke paras 1,770 mata pada Isnin, pelabur dan pedagang saham mula membuat keuntungan demi keuntungan seperti yang dilihat di media sosial Facebook.

Keadaan menjadi agak me­­riah dengan adanya pe­nyenarai­an beberapa saham IPO yang mencatatkan premium yang agak lumayan pada hari pertama penyenaraian. Pelabur dan pedagang saham di media sosial Facebook juga berlumba-lumba mempamerkan keuntungan yang dijana semasa pasaran saham mengalami ali­ran menaik.

Seperti yang kita sedia maklum, pergerakan pasaran merupakan satu pergerakan turun dan naik yang berselang-seli. Maka, apabila pergerakan pasaran berubah ke arah aliran menurun, masa ini nanti dunia saham media sosial akan menjadi sunyi sepi dan tidak meriah. Ketika pasaran mengalami penurunan, pelabur dan pedagang saham di media sosial tidak atau kurang mempamerkan keuntungan berbanding ketika pasaran bullish.

Keadaan sunyi sepi ini menandakan pelabur dan pedagang di media sosial mengalami kerugian sebenar atau kerugian di atas kertas. Keadaan ini berlaku berulang-ulang kali seiring dengan pergerakan turun naik pasaran.

Juga, kita melihat pelabur dan pedagang saham ini merupakan orang-orang yang berlainan. Ini disebabkan mereka merupakan pelabur dan pedagang saham baharu yang tidak mahir dan tidak mempunyai pengalaman serta panduan untuk membuat pelaburan atau perdagangan saham dengan baik.

Malah, ketahanan diri agak lemah serta keupayaan dari segi menambah modal pelaburan terbatas sewaktu pasaran di dalam aliran menurun. Contohnya, jika mereka membeli saham dengan menggunakan modal RM5,000 dan harga saham jatuh, mereka tidak mempunyai keupayaan menambah modal untuk membeli saham yang lain. Mereka terpaksa menunggu seketika untuk harga saham yang dibeli itu naik melebihi harga beli. Ke­adaan menunggu ini kadang-kala boleh jadi beberapa bulan hingga tahun.

Kebanyakan pelabur dan pe­dagang saham baharu tidak be­tul-betul memahami konsep me­labur. Mereka tidak dapat me­ngawal diri atau emosi semasa pasaran saham jatuh dan modal pelaburan menjadi susut kerana ini merupakan satu pe­ngalaman baharu kepada mereka.

Mereka telah terbiasa menyimpan wang di bank perdagangan atau di dalam instrumen yang lain yang mana wang mereka tidak akan susut. Justeru, terdapat pelabur dan pedagang saham yang menjual saham yang sedang jatuh atau tidak membeli saham semasa harga murah.

Semua tindakan ini dilakukan sendiri tanpa meminta nasihat pelaburan atau pandangan profesional.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.