Pengarah Urusannya, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, cadang­an pengambilalihan itu adalah peluang terbaik untuk melonjakkan penglibatan Sedania Innovator dalam sektor teknologi kewangan khususnya pembiayaan kewangan di Malaysia sama ada pembiayaan peribadi, perniagaan atau pembayaran digital.

Katanya, dengan menggabungkan kepakaran sedia ada dalam Sedania Innovator bagi pembangunan teknologi, pelaburan strategik itu membolehkan syarikat berkembang pesat dalam pasaran teknologi kewangan.

“Ini secara tidak langsung meletakkan syarikat di keduduk­an yang kukuh untuk memper­kenalkan produk-produk inovatif baharu seterusnya merangsang penerimaan masyarakat terhadap teknologi kewangan berasaskan talian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

SASC dimiliki oleh Sedania Corporation Sdn. Bhd. (SedaniaCorp), dengan majoriti pemilikan dipegang oleh Azrin, menjadikan cadangan pengambilalihan oleh Sedania Innovator itu sebagai transaksi pihak yang berkaitan.

Jika cadangan pengambil­alihan itu dipersetujui, SASC akan menjadi anak syarikat milik penuh Sedania Innovator sebelum suku kedua 2017.

Bagaimanapun, Pengambil­alihan itu tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia termasuk Bursa Malaysia Securities Berhad dan pemegang saham melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Sejak 2010, SASC menyediakan sistem As-Sidq iaitu sistem perdagangan komoditi Tawarruq yang menggunakan telekomunikasi prabayar kredit masa berbual sebagai komoditi yang didagangkan berdasarkan prinsip syariah.

Sistem berasaskan elektronik dan secara automatik sepenuh­nya itu kini digunakan oleh 21 syarikat perkhidmatan kewangan di Malaysia termasuk institusi kewangan dan koperasi untuk memudahkan pembiayaan Islam kepada pelanggan.

Platform As-Sidq, yang memberi tumpuan kepada pempro­sesan pembiayaan Islam berdasarkan prinsip syariah telah dianugerahkan paten hak milik intelektual pada Januari 2017. Setakat ini, As-Sidq telah memproses lebih daripada 300,000 transaksi pembiayaan peribadi dengan jumlah pembiayaan bernilai lebih da­ripada RM25 bilion.

Pertimbangan cadangan pembelian SASC oleh Sedania Innovator akan dilunaskan melalui RM4 juta bayaran wang tunai yang dilakukan secara berperingkat iaitu RM1 juta sebagai bayaran pertama diikuti RM1.5 juta dalam dua bahagian berikutnya setelah SASC memenuhi jaminan keuntungan dinyatakan.