Pengerusi MPA Sarawak, Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree berkata, PPA tersebut menunjukkan komitmen pihaknya dalam pelaburan besar bernilai RM1.9 bilion bagi pembangunan kompleks integrasi fosfat di Taman Industri Samalaju nanti.

“Kita bangga kerana projek MPA Sarawak merupakan projek Malaysia sebenar yang pemegang sahamnya terdiri daripada entiti negara ini dan teknologi pula dibangunkan oleh jurutera kimia di bawah Malaysian Technology Developement Corporation (MTDC).

“Kompleks fosfat ini akan melibatkan kapasiti pengeluaran 500,000 tan bagi fosfat aditif, 100,000 tan ammonia dan 900,000 tan coke setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Menandatangani PPA antara SESCO dan MPA Sarawak iaitu sebuah syarikat usaha sama Malaysian Phospate Ventures Sdn. Bhd., Cahaya Mata Sarawak Berhad melalui anak syarikat mereka iaitu Samalaju Industries Sdn. Bhd. dan Arif Enigma Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menyaksikan majlis itu. Pihak SESCO diwakili oleh Datuk Torstein Dale Sjotveit dan disaksikan Pengurus Besar Undang-undang Kumpulannya, Stephanie Gae Chin, manakala MPA Sarawak oleh Pengarah Urusannya, Lim Lee Wan disaksikan Pengarahnya, Datuk Isaac Lugun.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Tambah Syed Ahmad, projek itu akan mewujudkan 1,200 peluang pekerjaan malah banyak potensi bagi industri hiliran, tidak kurang 20 kluster kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Manfaat projek ini, selain memperkasakan Sistem Keselamatan Makanan Kebangsaan ia juga dapat menghasilkan pendapatan negara kasar sebanyak RM11.8 bilion kepada ekonomi negara.

“Kami menyasarkan projek ini akan siap dalam beberapa fasa bermula pertengahan 2018 hingga akhir tahun itu,” jelasnya.

Sementara itu, Torstein berkata, PPA yang ditandatangani itu merupakan sebuah lagi kejayaan kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

“Keputusan MPA Sarawak untuk membuka kompleks fosfat integrasi yang pertama di Sarawak menunjukkan jaminan bahawa kita berada pada laluan betul merealisasikan sasaran negeri menjadi penjana bagi rantau ASEAN,” jelasnya.