SC berkata, dalang skim tersebut akan memperoleh dan me­ngumpul saham pada harga yang lebih rendah sebelum menyebarkan sentimen positif mengenai syarikat-syarikat tersebut dengan tujuan menarik minat terhadap saham yang diniagakan untuk menaikkan harganya.

Katanya, apabila pelabur yang tidak curiga membeli saham itu, ia memberi peluang kepada dalang tersebut menjual saham mereka dengan meraih keuntu­ngan.

Ujarnya, para pelabur yang telah membeli saham pada harga yang melambung akan mengalami kerugian apabila gembar-gembur tersebut reda.

“SC dan Bursa Malaysia baru-baru ini telah mengenal pasti satu blog, Bonescythe Stock Watch yang didapati mengeluarkan pelbagai artikel mengandungi kenyataan dan ramalan yang mengelirukan dan menipu, suatu kesalahan di bawah seksyen 178 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

“Blog tersebut telah ditutup selepas SC dan Bursa Malaysia mengambil tindakan untuk campur tangan,” katanya dalam kenya­taan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu agensi kawal selia tunggal bagi pengawalselia­an dan pembangunan pasaran modal itu turut menasihatkan pelabur agar sentiasa berwaspada dan memastikan kesahihan maklumat sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pelaburan.

“Pelabur diingatkan supaya berhati-hati terhadap risiko penipuan dan sekiranya curiga, dapatkan nasihat daripada individu yang telah dilesenkan oleh SC.

“Orang ramai yang menemui mana-mana laman web yang mencurigakan serta e-mel yang berkaitan dengan nasihat pelaburan atau apa-apa aktiviti dan perkhidmatan pasaran modal lain boleh menghubungi SC di talian +603 6204 8999 atau e-mel: [email protected],” jelasnya.

Tambahnya, pelabur juga boleh merujuk laman web SC untuk mengetahui tentang amaran dan peringatan yang dikeluarkan serta laman BijakLabur di www.investsmartsc.my dan laman Facebook InvestSmartSC untuk maklumat lanjut mengenai pelaburan yang lebih selamat.