Ibarat pisang berbuah dua kali, apa yang lebih mendukacitakan beliau, ia adalah kali kedua buat dirinya dengan kali pertama berlaku ketika umat Islam menyambut bulan puasa dan terbaharu, selepas sambutan Awal Muharam baru-baru ini. Beliau baru setahun kembali bertugas pada Oktober selepas digantung tugas pada Jun tahun lalu.

“Terkilan sebab ia berlaku tanpa rundingan tetapi didedahkan untuk tatapan umum. FGV sewajarnya bergerak ke hadapan dan bukannya melihat perkara-perkara yang lepas.

Dengan semua perkara ini, bagaimana kita hendak me­ningkatkan kembali keyakinan pelabur dan juga persepsi orang ramai terhadap kita (FGV)?” katanya yang mula bertugas di syarikat perladangan milik Felda itu sejak 1984.

Seperti dapat menjangkakan apa yang berlaku ke atas dirinya, semalam Zakaria ditamatkan khid­matnya sebagai pengarah syarikat selepas FGV menerima surat daripada pemegang saham khas, Menteri Kewangan (Diperbadankan).

“Saya belum sempat beritahu keluarga apa yang berlaku. Hakikatnya, saya tahu apa matlamat akhir mereka.

Kontrak saya pun akan tamat dalam beberapa bulan sahaja lagi, campur tolak cuti...hanya tinggal sekejap sahaja,” ujarnya. Kontrak beliau sepatutnya berakhir pada Mac tahun hadapan.

Dalam makluman Bursa Malaysia petang ini, Lembaga Pengarah FGV memberitahu sudah mengemukakan Notis Siasatan kepada Zakaria setelah memuktamadkan siasatan dalaman terhadap 10 isu kritikal. Setiap isu tersebut didakwa menyebabkan kerugian dari segi kewangan kepada FGV dan pemegang saham.

Susulan notis tersebut, kuasa yang diberikan kepadanya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif digantung mulai hari ini (13 September 2018) sehingga diberikan notis selanjutnya oleh lembaga pengarah.

Buat sementara waktu, Jawatankuasa Khas Lembaga 2 terdiri daripada empat Pengarah FGV iaitu Pengerusi, Datuk Azhar Abdul Hamid, Datuk Dr. Salmiah Ahmad, Dr. Mohamed Nazeeb P.Alithambi dan Datin Hoi Lai Ping akan mengambil alih tugas Zakaria.

Menurut Zakaria, beliau hanya diberi tempoh sehingga 19 September untuk menjelaskan mengenai perkara tersebut dan menyifatkan ia tidak adil buat dirinya kerana tempoh waktu yang singkat selepas ditolak ganti cuti umum Hari Malaysia pada Isnin dan cuti hujung minggu.

Terdahulu, dalam majlis Pelancaran Inisiatif FGV-MPOB dalam menerajui Penggunaan B10, Zakaria menjelaskan langkah melepaskan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah diputuskan setelah di­persetujui oleh semua pihak dalam Mesyuarat Agung Tahunan syarikat itu pada Jun lalu.

Katanya, terdapat dua panda­ngan ketika perbincangan diadakan bersama FGV iaitu sama ada pengurusan syarikat seperti CEO menjadi ahli lembaga pengarah atau sebaliknya, dan mereka bersetuju untuk memisahkan jawatan ahli lembaga pengarah dan pengurusan.

“Spekulasi mengatakan saya meletakkan jawatan tidak benar dan tidak lagi menjadi ahli lembaga pengarah setelah dipersetujui semua pihak termasuk diri sendiri.

“Keputusan ini dicapai supaya syarikat lebih telus dan sekiranya ada melibatkan perkara sensitif, ahli lembaga pengarah boleh berbincang dengan lebih bebas,” katanya.