Menurut Sulai­man, kedua-dua ahli lembaga pengarah ber­kenaan iaitu Datuk Dr. Omar Salim dan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid telah pun menyatakan hasrat mereka untuk melepaskan jawatan beberapa minggu lalu.

“Namun begitu, mengambil kira keadaan semasa dan masa hadapan syarikat yang telah dipersetujui oleh kerajaan dan FGV pada 19 Jun lalu, saya secara peribadi meminta supaya semua ahli lembaga pengarah kekal memegang jawatan masing-masing.

“Perkara berkenaan diambil bagi meningkatkan tadbir urus korporat dan kawalan perniagaan FGV serta kajian semula perniagaan secara menyeluruh di sam­ping mendukung integriti dan semangat kesaksamaan dalam siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai isu tersebut.

Utusan Malaysia dalam laporan hari ini mendedahkan dua ahli lembaga pengarah FGV tidak mahu meletak jawatan mereka walaupun diminta oleh Shahrir untuk berbuat demikian.

Menurut sumber, keengganan dua ahli lembaga pengarah ber­kenaan iaitu Noor Ehsanuddin dan Omar untuk berundur telah merencatkan program untuk men­stabilkan semula syarikat.

Krisis dalaman FGV, syarikat pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia itu te­lah berlarutan lebih sebulan selepas Ke­tua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ahmad Tifli Mohd. Talha diarahkan bercuti serta-merta mulai 6 Jun lalu.

Kedua-dua pegawai tertinggi itu telah dirujuk kepada Panel Siasatan Dalaman selepas menilai dan menimbang surat tunjuk sebab mereka berhubung isu berkaitan dengan hutang tertunggak Safitex Trading LLC kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn. Bhd.

Berikutan krisis itu, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi FGV dan jawatan tersebut kini dipangku oleh Sulaiman. Mohd. Isa kini memangku jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak 19 Jun lalu.

Dalam pada itu, FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia melantik Datuk Abu Bakar Harun dan Ab Ghani Mohd. Ali sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, berkuat kuasa hari ini manakala Datuk Muzzammil Mohd. Nor dilantik sebagai Pengarah Gantian Bukan Bebas Bukan Eksekutif.

Menurut FGV, Abu Bakar, 56, sebelum ini menyandang tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri Pahang manakala Ab Ghani, 59, merupakan Pemangku Pengarah Besar Felda. Muzzammil, 45, pula berkhid­mat sebagai Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan) Felda.

Pelantikan itu dibuat susulan keputusan yang dicapai antara Shahrir dengan Sulaiman dalam satu pertemuan pada minggu lalu. Dengan persetujuan itu, bermakna keseluruhan Ahli Lembaga Pengarah seramai 11 orang, iaitu tiga lantikan kerajaan, dua daripada Felda dan enam lagi merupakan lembaga pengarah bebas.

Sebelum ini, Felda memohon tiga wakilnya diletakkan dalam Lembaga Pengarah FGV tetapi langkah itu memerlukan FGV menambah bilangan Ahli Lembaga Pengarah kepada maksimum 13 orang.