Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pengambilalihan tersebut juga dijangka dapat memberikan ali­ran pendapatan yang mapan dan potensi peningkatan modal pada masa akan datang.

“Pelaburan yang dicadangkan ini juga telah distrukturkan dengan teliti untuk memastikan transaksi yang dicadangkan memenuhi kriteria pelaburan PNB,” katanya dalam kenyataan bersama antara PNB dan KWSP di sini hari ini.

Sime Darby Property Bhd. dan SP Setia Bhd. mengumumkan penjualan saham mereka dalam Stesen Jana Kuasa Battersea pada pertimbangan asas RM8.351 bilion kepada syarikat usaha sama PNB dan KWSP, PNB-Kwasa International 2 Ltd.

Transaksi itu dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2019.

Battersea Phase 2 Holding Company Ltd. (Battersea Phase 2 Holdco) adalah anak syarikat milik penuh Battersea Project Holding Co. Ltd., yang dimiliki oleh Sime Darby Property dan SP Setia, yang mana masing-masing memegang 40 peratus saham manakala KWSP, 20 peratus.

Penyusunan semula pemili­kan aset komersial fasa kedua projek pembangunan Battersea Power Station dilaksanakan melalui perjanjian jual beli yang ditandatangani pada Jumaat lalu antara Battersea Phase 2 Holdco dengan PNB-Kwasa, Sime Darby Property dan SP Setia.

Abdul Rahman berkata, PNB telah berusaha dengan teliti untuk menilai pemerolehan berke­naan, yang melibatkan pelbagai penasihat dan pakar teknikal.

“PNB berpuas hati pengambilalihan ini sesuai de­ngan strategi pelaburan PNB dan KWSP,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, sebagai sebuah projek pembangunan bersepadu yang disokong oleh penyewa-penyewa yang kukuh, KWSP yakin dengan potensi hartanah komersial Fasa 2 Battersea untuk menghasilkan pendapatan sewaan jangka panjang yang mapan untuk kumpulan.

“Kami juga menjangkakan pembangunan ini akan mendapat manfaat daripada perluasan London Underground Northern Line, yang akan memberi akses lebih baik untuk menjadikan kawasan itu sebagai sebuah pusat perniagaan dan gaya hidup yang menarik,” katanya.

Tapak seluas 17 hektar Battersea Power Station dibangunkan dalam tujuh fasa sejak 2012, yang diuruskan oleh Battersea Power Station Development Company yang berpangkalan di London bagi pihak pemegang saham. Ia berjaya menyiapkan 867 unit kediaman pada fasa dua, tahun lalu (2017-2018).

Selain unit kediaman, ruang runcit dan riadah yang dilancarkan awal tahun ini mendapat minat yang besar daripada pelbagai jenama United Kingdom dan antarabangsa.