Pengerusinya, Datuk Samsolbari Jamali berkata, hingga kini nilai eksport nanas mencecah RM155 juta, sekali gus yakin sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan permintaan yang semakin meningkat kini.

Menurutnya, pada tahun ini eksport nanas tertinggi ke Singapura berjumlah 33,529 tan metrik dengan nilai RM16.96 juta, diikuti pelbagai negara lain antaranya Iran, Jepun, Taiwan dan China.

“Pada masa ini, kita turut mendapat permintaan tinggi nanas premium jenis MD2 dari China dan sejak mula dieksport pada Oktober lalu, kira-kira 150 tan metrik nanas sudah diekspot ke sana.

“Namun, jumlah itu hanya setakat dapat memenuhi 10 peratus permintaan negara itu yang mahu 20 kontena nanas MD2 dieskport ke China setiap minggu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Justeru, Samsolbari memberitahu, pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi memenuhi permintaan tersebut termasuk menggalakkan petani atau pemain baharu industri terlibat dalam penanaman nanas MD2 secara komersial.

Pada masa sama, tambahnya, petani sedia ada menanam nanas turut digalakkan bertukar dengan penanaman nanas jenis MD2.

“Nanas kini sudah dikategorikan sebagai antara buah-buahan tempatan penyumbang kepada kekayaan baharu, sekali gus mahu semua yang terlibat termasuk usahawan baharu dan muda untuk menanam nanas MD2,” katanya.

Beliau berkata, permintaan domestik nanas juga sudah meningkat dan dianggarkan nisbah bagi seorang memakan buah nanas adalah sebanyak 10 hingga 14 biji setahun dalam tempoh lima tahun ini berbanding 10 biji setahun sebelum ini.

Selain itu, Samsolbari memberitahu, Johor masih menjadi negeri pengeluar dan penanaman nanas terbesar negara, iaitu sebanyak 60 peratus diikuti Sarawak dan Sabah yang dilihat mampu menjadi pemain utama nanas pada masa akan datang.