Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata, ketika ini jumlah bumiputera yang menceburi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hanya 38 peratus daripada keseluruhan kira-kira 900,000 usahawan di seluruh negara.

Menurutnya, angka itu masih terlalu rendah biarpun pelbagai program bantuan, dana dan geran disediakan oleh kerajaan bagi merancakkan lagi bidang keusahawanan dalam kalangan kaum tersebut.

“Jadi, kita berharap Bahagian Pembangunan Usahawan Bumiputera (BPUB) yang ditubuhkan di setiap kementerian perlu bergerak lebih proaktif untuk menggalakkan lebih ramai menjadi usahawan.

“Sekiranya 25 bahagian berke­naan di semua kementerian yang diketuai Timbalan Ketua Setiausahanya 'keluar' membuat promosi dan tidak hanya menunggu orang datang, kita yakin penyertaan golongan bumiputera dalam bidang usahawan akan meningkat,” katanya selepas mengadakan lawatan sempena Jelajah PKS di Azad Food Industries Sdn. Bhd., di sini semalam.

Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah Azad Food Industries, Azharazad Abd. Rahman yang menceburi bidang pembuatan sos, kicap dan mayonis dengan jenama Azad.

Sehubungan itu, Ahmad meminta kaum bumiputera mere­but peluang menjadi usahawan PKS terutamanya dalam bidang pembuatan selain terlibat dalam sektor perkhidmatan dan kontraktor.

“Budaya usahawan harus di­serap kepada kaum bumiputera kerana kita sedar golongan itu lebih selesa bekerja, tetapi mereka yang mempunyai potensi untuk berjaya dalam bidang keusahawanan perlu gigih mencari maklumat atau berjumpa pihak yang sepatutnya.

“Kerajaan menyediakan dana sebanyak RM22.2 bilion dalam Bajet 2018 yang bukan sahaja membantu menambah modal dan meluaskan pasaran produk, malah mereka yang baru hendak menceburi juga boleh memohon dana tersebut yang telah disalurkan kepada pelbagai kementerian dan agensi,” katanya.