Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Motor, Datuk Seri Ben Yeoh Choon San berkata, Mazda CX-5 baharu yang dijual pada harga atas jalan bermula RM134,605.50 sehingga RM175,179.10 sebuah, merupakan model utama syarikat ber­kenaan bagi pasaran tempatan.

Jelas beliau, unjuran be­r­kenaan ditetapkan berdasarkan jumlah tempahan yang amat menggalakkan setakat ini bagi model kenderaan versi pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Mazda Kulim.

“Jika dilihat kepada trend pasaran domestik semasa, SUV merupakan model yang semakin menjadi pilihan pengguna dan kami juga sedang memberi tumpuan untuk meningkatkan pe­nguasaan pasaran dalam segmen ini.

“Kami yakin Mazda CX-5 baharu yang dilengkapi de­ngan pelbagai ciri keselamatan mo­den dan pakej yang menarik adalah produk Jepun premium bagi memberi alternatif berbeza kepada pasaran SUV negara.

“Oleh itu, kami merasakan jumlah jualan yang melonjak berbanding tahun-tahun sebelum ini dengan 50 peratus daripadanya hadir menerusi CX-5 baharu iaitu kira-kira 500 hingga 600 buah kenderaan setiap bulan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Mazda CX-5 baharu di sini baru-baru ini.