Jurucakapnya, Aidil Abdul Ghafar berkata, setakat ini seramai 30,000 pengguna telah membuat prapendaftaran dan optimis jumlah itu akan meningkat selepas ia dibuka kepada orang ramai.

Menurut beliau, Ourcoin menyediakan perkhidmatan pertukaran sesama mata wang digital dengan memberi fokus kepada 10 mata wang digital yang mendapat permintaan tertinggi se­perti Bitcoin.

“Buat masa ini, terdapat hampir 500 platform pertukaran mata wang digital di seluruh dunia dan masing-ma­sing mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Bagi Ourcoin perkhid­matan kami terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat dengan mata wang digital dan transaksi dagangan tidak hanya terhad di Malaysia.

“Kami merancang untuk mengembangkan perkhidmatan Ourcoin ke peringkat global dengan tumpuan kini di pasaran Asia Tenggara termasuk Australia,” katanya dalam majlis pelancaran platform pertukaran mata wang digital Ourcoin di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Ourcoin, Muzamir Anwar Mad Saad dan Pengarah Teknikal Ourcoin,Tony Young.

Tambah Aidil, Ourcoin mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Malaysia dan memiliki lesen yang sah di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, setiap transaksi aset digital yang dibuat melalui Ourcoin tertakluk kepada peraturan daripada bank pusat berkenaan.

“Perkhidmatan kami sangat telus kerana setiap transaksi yang dibuat akan di pantau oleh BNM. Selain itu, jika terdapat sebarang salah laku atau transaksi yang mencurigakan perkara tersebut akan dilaporkan terus kepada BNM.

“Dari aspek keselamatan pula Ourcoin mempunyai beberapa tahap keselamatan yang terbaik bagi melindungi pengguna termasuk kod keselamatan yang ditukar setiap 20 hingga 30 saat dan beroperasi dalam talian dalam tempoh yang singkat,” jelasnya.