Menteri Utiliti negeri, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, skim tersebut merupakan inisiatif integrasi bagi mempercepatkan bekalan elektrik di kawasan pedalaman.

Katanya, SARES adalah pendekatan inovatif melalui model kerjasama kerajaan dan komuniti yang mengutamakan sistem alternatif kendiri melibatkan solar serta teknologi hidro mikro bagi penduduk pedalaman.

“Sarawak menyasarkan liputan 100 peratus bekalan elektrik untuk semua penduduk menjelang 2025.

“Perkara tersebut merupakan satu cabaran kerana kira-kira 45 peratus penduduk negeri ini tinggal di kawasan pe­dalaman yang berselerak di pergunungan, sungai, hulu sungai dan kampung di pesisir pantai,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

SARES diiktiraf di bawah kategori kerajaan Afrika, Asia dan Amerika Latin pada Anugerah ARE 2018.

Skim bernilai RM500 juta itu telah dilaksanakan mulai 2016 dan pada penghujung tahun ini akan menyaksikan 90 lagi kampung mendapat bekalan elektrik, diikuti tambahan 210 kampung lagi pada 2020.

Mengulas lanjut, Stephen Rundi berkata, pada 10 tahun dahulu me­lalui peruntukan kerajaan Persekutuan dan negeri, kadar elektrifikasi pedalaman telah berjaya dinaikkan daripada 56 peratus pada 2009 kepada 90 peratus ketika ini.

“SARES yang diterajui kerajaan negeri dan dilaksanakan oleh syarikat utiliti milik penuhnya, Sarawak Energy Berhad (SEB) menyasarkan penyediaan 24 jam bekalan elektrik kepada lebih 40,000 populasi pedalaman pada 2020.

“Populasi itu melibatkan penduduk di kawasan pedalaman di Ulu Skrang, Katibas, Nanga Merit, Bukit Mabong, Tinjar, Long Bedian, Te­lang Usan, Bario, Julau, Tatau, Su­ngai Gaat, Su­ngai Pila dan Medamit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Sharbini Suhaili memberitahu, anugerah tersebut mengiktiraf kerja keras pelbagai pihak termasuk komuniti bagi memenuhi keperluan rakyat dalam membekalkan elektrik 24 jam.

Katanya, SEB komited membantu Sarawak mencapai hasrat membekalkan elektrik 24 jam menjelang 2025 untuk penduduk negeri ini.