Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Anim Hosnan berkata, sebagai permulaan, projek perintis akan digerakkan melibatkan penanaman 100,000 pokok MD2 di kawasan berkeluasan empat hektar di Kampung Padang Pan, Bau, Sarawak, Sabtu ini.

Katanya, program pembangunan nanas MD2 adalah yang utama daripada tujuh program yang akan dilaksanakan pada tahun ini membabitkan peruntukkan sejumlah RM16.5 juta.

“Pengeluaran nanas MD2 bukan sahaja untuk kegunaan domestik malah dipasarkan ke luar negara khususnya di China melibatkan permintaan sebanyak 100 kontena sebulan sedangkan kita hanya mampu menyediakan 24 kontena sebulan.

“Program pembangunan na­nas MD2 akan diperluaskan de­ngan menyasarkan tanaman na­nas di kawasan seluas 5,600 hek­tar menjelang 2020 dengan nilai pengeluaran sejumlah RM1 bi­lion sekali gus memenuhi pasaran China,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Pagi dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) LPNM di Bandar Baru Uda, di sini hari ini.

Mohd. Anim berkata, Sarawak merupakan lokasi strategik kerana bukan sahaja mempunyai kawasan yang luas malah mengambil masa lima hari perjalanan ke China melalui kapal laut berban­ding sembilan hingga 11 hari dari Pelabuhan Klang.

Katanya, bagi memenuhi ke­perluan di Sarawak, LPNM akan berusaha mendapatkan bekalan benih dari Semenanjung atau membawa masuk benih berkualiti dari luar yang melepasi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kira-kira bernilai RM20 juta.

“Kita menasihatkan pengusaha nanas MD2 agar menggunakan benih yang asli daripada sulur nanas dan tidak menggunakan benih daripada tisu kultur kerana khuatiri menjejaskan kualiti, rasa dan bentuk nanas MD2,” katanya.

Menyentuh mengenai penubuhan Lembaga Kelapa, Nanas dan Buah-buahan Negara (LKNBN), Mohd. Anim berkata, perkara itu masih dalam peringkat perancangan dan dijangka dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

“LKNBN ini akan dapat me­ngukuhkan LPNM di bawah akta baharu yang dikembangkan kepada komoditi kelapa dan buah-buahan lain. Mesyuarat itu akan memutuskan sama ada Akta 427 yang diguna pakai LPNM sebelum ini dimansuh dan digantikan akta baharu,” katanya.