Sapura Energy berkata, perolehan syarikat tersebut direkodkan berjumlah RM1.25 bilion bagi suku kedua, 23.9 peratus lebih rendah daripada RM1.65 bilion tahun lalu terutamanya disebabkan hasil yang rendah daripada segmen pembinaan dan kejuruteraan serta perniagaan penggerudian.

“Keputusan bagi suku kedua adalah sejajar dengan jangkaan dan kemenangan kontrak baru-baru ini masih berada di peringkat awal pelaksanaan.

“Kapal utama kumpulan kini sedang digerakkan untuk kerja-kerja baharu. Oleh kerana projek-projek ini bergerak dari fasa kejuruteraan dan perolehan ke fasa pembinaan dan fasa pembinaan luar pesisir, kami menjangkakan melihat peningkatan dalam penggunaan aset,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Sementara itu, bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Januari 2019, Sapura Energy mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.3 bilion berbanding RM3.4 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun kewangan sebelumnya.

Ia terutamanya disebabkan penurunan dalam pendapatan untuk mengurangkan aktiviti dan penggunaan aset dalam segmen perkhidmatan.

“Perolehan untuk penerokaan dan pengeluaran telah menunjukkan peningkatan hasil daripada kenaikan harga minyak dan gas yang lebih tinggi dalam tempoh semasa.

“Di tengah-tengah harga mi­nyak yang semakin baik yang mendorong peningkatan aktiviti dalam industri di seluruh dunia, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pemulihan dalam industri,” katanya.

Sapura Energy juga aktif mene­roka ke lebih banyak pasaran di kawasan utama, termasuk Asia Barat, Afrika, Amerika Latin, Caspian dan Mediterranean, serta Asia Tenggara dan Australia.

Setakat ini, kumpulan itu telah memperoleh kontrak sebanyak RM5.3 bilion bagi segmen kejuruteraan dan pembinaannya dan perniagaan penggerudian, menjadikan jumlah buku pesanannya bernilai RM16.9 bilion.

“Buku pesanan yang semakin berkembang ini memberikan misi jangka panjang kumpulan yang akan diterjemahkan ke dalam penggunaan aset kumpulan yang lebih tinggi dan peningkatan pendapatan,” katanya.