Presiden Perniagaan Paparan Visual Samsung Electronics, HS Kim berkata, barisan baharu QLED TV direka bentuk berpandukan maklum balas kehendak pengguna.

Menurutnya, QLED TV tertumpu kepada tiga ‘titik sakit’ pengguna menerusi rumusan dikenali sebagai Q Picture, Q Smart dan Q Style.

“Samsung sekali lagi bekerjasama dengan Yves Behar, seorang pereka terkemuka berasal dari Switzerland, bagi mencipta televisyen inovatif ini, The Frame dan menawarkan pengguna suatu maha karya yang dapat disesuaikan dengan ruang dalaman apa sahaja rumah,” katanya.

Kim berkata demikian pada sesi taklimat media antarabangsa di Carrousel du Lourve di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden Samsung Malaysia Electronics, Lee Sang Hoon dan Ketua Pegawai Pemasarannya, Elaine Soh.

Kim berkata, Samsung sentiasa berusaha memberikan untuk para pelanggan teknologi paling terkini bagi menyampaikan pengalaman menonton yang tiada tandingan serta reka bentuk paling canggih yang memenuhi kehidupan ha­rian orang ramai.

“Dengan kualiti, reka bentuk dan ciri-ciri pintar yang terbaru, barisan televisyen 2017 benar-benar membawa kita memasuki era baharu televisyen,” kata beliau.

Kim berkata, Samsung memilih Paris iaitu ‘kota bercahaya’ sebagai lokasi pelancaran ‘televisyen bercahaya’ iaitu nama yang diberi kepada QLED TV kerana ke­upayaannya menyampaikan paras optimum kecerahan dan pengalaman visual yang mengagumkan.

Malahan pemilihan Muzium Louvre yang dikenali kerana kha­zanah kesenian dan kebudayaannya, turut mengenengahkan fokus Samsung terhadap konsep gaya hidup televisyen, diwakili oleh dua karya seni iaitu Samsung QLED TV dan The Frame.

Secara ringkas, Q Picture dalam barisan QLED TV Samsung ialah teknologi quantum dot yang terkini dengan kemajuan di dalam kecekapan, kestabilan dan spektrum warna yang lebih luas.

QLED TV boleh memaparkan warna tepat dan mencapai 100 peratus volum warna iaitu ter­tinggi di pasaran sekarang, yang di akreditasi oleh Verband Deutscher Elektrotechniker (VDE), satu daripada persatuan teknikal saintifik terbesar di Eropah. – UTUSAN