Pengarah Samsung Pay, Seung Han Dan berkata, selain penerimaan kad kredit, debit dan prabayar, ciri tambahan seperti pengenalan kad kesetiaan akan menarik lebih banyak penggunaan Samsung Pay.

Katanya, perkhidmatan itu juga dijangka diperkenalkan di negara-negara seperti Brazil, Singapura, Australia dan Sepanyol dalam masa terdekat.

“Misi kami adalah untuk memberikan perkhidmatan yang lebih pintar, selamat dan efektif kepada pengguna Samsung.

“Dengan Samsung Pay, pengguna kini tidak perlu lagi membawa banyak kad kredit atau debit untuk ke mana-mana, dan pembayaran menggunakan Samsung Pay adalah lebih selamat,” katanya kepada pemberita pada majlis prapelancaran Samsung Pay di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden Unit Perniagaan Mudah Alih dan IT Samsung Malaysia, Lee Jui Siang dan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Maybak, Seung Han Dan.

Dalam majlis sama, Samsung Malaysia turut mengumumkan kerjasama dengan Maybank bagi menawarkan perkhidmatan pembayaran mudah alih, Samsung Pay.

Jui Siang berkata, kerjasama tersebut menawarkan pe­langgan Maybank akses awal kepada perkhidmatan berkenaan sehingga 11 Februari ini.

Jelas beliau, perkhidmatan Samsung Pay kini boleh digunakan dengan model-model terpilih Samsung seperti Samsung Galaxy S7, S7 edge, S6 edge+, Note 5, Galaxy A5 (2017 & 2016) serta A7 (2017 & 2016).

“Sempena promosi hari ini, pelanggan Maybank berpeluang memenangi pulangan tunai bernilai RM100 bagi setiap pembayaran terkumpul RM500 yang dibelanjakan menggunakan Samsung Pay,” katanya.