Pengurus Produk Rantau Asia Tenggara dan Oceania Samsung Asia, Erik Tanuwidjaja berkata, teknologi Quantum Dot dalam CFG70 sebelum ini ditawarkan menerusi produk televisyen pintar ultra defi­nisi tinggi (SUHD TV) Samsung yang memberi kepuasan dan pengalaman visual terbaik dengan kualiti gambar lebih tinggi.

Katanya, paparan berke­naan juga dilengkapi dengan teknologi Masa Tindak Balas Gambar Bergerak (MPRT) pa­ling pantas dalam industri sekali gus menjadikannya sebagai satu daripada paparan komputer terbaik pernah dihasilkan.

“Samsung telah mengeluarkan banyak produk paparan komputer dan terlibat secara langsung dengan pelbagai pertandingan sukan elektronik (e-sukan) sebelum ini, CFG70 adalah produk pertama yang memfokuskan kepada memahami keperluan dan kehendak dalam permainan elektronik.

“Oleh itu, dengan kepakaran dan teknologi yang kami miliki, ditambah pula aktiviti e-sukan yang semakin popular di Malaysia, kami yakin pemain kompu­ter Malaysia pasti berasa teruja dengan paparan melengkung CFG70 ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran paparan komputer melengkung CFG70 di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Samsung Malaysia, Lee Sang Hoon; Pengarah Perniagaan Perusahaan Elektronik Pengguna (CE), Hui Whye Leong dan Pengarah Perniagaan Perusahaan Teknologi Maklumat (IT), Wong Man Ngee.

Dalam pada itu, Man Ngee memberitahu, Samsung turut memberi tawaran istimewa kepada 100 pelanggan terawal yang membuat pratempahan paparan CFG70 secara dalam talian melalui laman web Lazada untuk berpeluang memenangi barangan percuma bernilai sehingga RM264 selama seminggu bermula hari ini.

Beliau menambah, pemain komputer tegar juga boleh mendapatkan CFG70 di beberapa cawangan kedai Samsung terpilih bermula 27 Januari ini.

“Pelancaran paparan CFG70 yang dilengkapi dengan tek­nologi terkini menandakan per­kembangan inovasi Samsung dalam arena permainan digital di Malaysia.

“CFG70 sememangnya dibina untuk para pemain komputer tegar yang masih mencari pengalaman permainan digital terbaik dan belum pernah dialami pada paparan komputer lain,” katanya.