Jangkaan yang dibuat oleh pembuat cip memori dan tele­fon pintar terbesar di dunia itu telah menambahkan kegelisahan dalam kalangan pelabur akibat permintaan global yang semakin merosot bagi peranti mudah alih dan elektronik lain yang menjejaskan pasaran saham dunia pada bulan ini.

Gergasi teknologi Korea Selatan itu berkata, ia menjangkakan pendapatan bagi suku ke suku merosot pada suku keempat di­se­babkan permintaan yang lemah terhadap cip memori dan perbelanjaan pemasaran telefon pintar yang meningkat sepanjang musim cuti hujung tahun.

“Melihat ke hadapan menje­lang 2019, pendapatan dijangka lemah pada suku pertama, tetapi ia mengukuh semula terutamanya dalam pasaran cip memori,” kata Samsung dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penganalisis berpendapat pemotongan capex seharusnya dapat mengurangkan kebimbangan terhadap pertumbuhan bekalan dan penurunan harga, memandangkan harga sesete­ngah cip memori telah jatuh ke paras terendah dalam dua tahun dan pesaing akan memulakan barisan pengeluaran baharu tahun depan.

Samsung yang merupakan pembeli cip terbesar di dunia berkata, perbelanjaan modalnya tahun ini akan menurun sebanyak 27 peratus kepada 31.8 trilion won (RM117.5 bilion) daripada rekod 43.4 trilion won (RM159.4 bilion) tahun lepas.

“Harga cip NAND (memori kilat) akan turun dan terus merosot pada separuh pertama tahun depan susulan Toshiba akan memulakan pengeluaran baharu dan Hynix juga memulakan pengeluaran besar-besaran bagi satu daripada cip NAND,” kata Penganalisis HI Investment & Securities, Song Myung-sup.

“Lebihan bekalan dijangka terus berlaku,” katanya.

Samsung sebelum ini merekodkan keuntungan operasi sebanyak 17.6 trilion won (RM64.6 bilion) bagi suku Julai hingga September, selari dengan unjuran yang dibuat syarikat.

Syarikat itu juga dihantui oleh persaingan dengan Apple Inc. dalam segmen premium serta persaingan dengan syarikat China dalam segmen lain.

Perniagaan telefon pintar Samsung menyaksikan keuntungannya jatuh ke paras terendah sejak suku pertama tahun 2017. – REUTERS