Perancangan pembinaan ki­lang tersebut bagi meningkatkan pengeluaran skrin OLED yang fleksibel untuk memenuhi keperluan Apple iPhone 8 dan peranti lain pada masa akan datang.

Setakat ini, Samsung Display mengawal 98 peratus pasaran global bagi skrin fleksibel OLED kecil dan sederhana.

Menurut laman web Korea, ETNews, kilang itu akan ditempatkan di Cheonin dan Asan dijangka menelan kos sekitar AS$1.75 bilion (RM7.51 bilion) untuk pembinaan manakala AS$14 bilion (RM60 bilion) untuk peralatan fabrikasi OLED.

“Samsung Display dalam pe­rancangan untuk membina kilang OLED terbesar dunia yang akan mempunyai lebih daripada 30 peratus kapasiti pengeluaran berbanding A3 yang ketika ini merupakan kilangnya yang terbesar,” jelasnya.

Samsung Display memulakan pembinaan kilang OLED fleksibel generasi keenam yang dipanggil A5 yang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 180,000 panel setiap bulan dan boleh meningkat sehingga 270,000 panel setiap bulan.

Jelas laporan itu lagi, Samsung Display dalam proses untuk membuat pelaburan ke atas dua kilang supaya dapat memenuhi kapasiti pengeluaran 270,000 panel setiap bulan.

“Ini bermakna setiap kilang akan mempunyai pengeluaran sebanyak 135,000 panel setiap bulan. Jika mahu membuat pelaburan sedemikian, ia memerlukan kira-kira AS$20.1 bilion (RM86.31 bi­lion) dan AS$21 bilion (RM90.17 bilion),” jelas laporan itu. –AGENSI