Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Bhd., Datuk Seri F.D Iskandar F.D Mansor berkata, ia merupakan cawangan Samanea yang pertama di Asia Tenggara.

Katanya, Samanea menyewa ruang seluas 15,329 meter persegi dari tingkat bawah sehingga aras tiga dan dijangka memulakan operasi menjelang separuh pertama 2019.

“Samanea merupakan sebahagian daripada syarikat China Lesso Group Holdings Limited, iaitu sebuah kumpulan industri besar bahan bangunan rumah di China dengan lebih daripada 50 anak syarikat induk dan lebih 26 buah kilang pengeluaran di 16 wilayah di China, Amerika Syarikat, Kanada, India, Indonesia dan Uganda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Samanea juga mempunyai cawangan di lima lokasi lain iaitu New York, Sydney, Dubai, Thailand dan Indonesia.

Tambah F.D Iskandar, selain itu sebuah pusat pengalaman juga akan dibuka hasil daripada kerjasama antara Samanea dan Lazada Malaysia.

“Kedai konsep dan pusat pe­ngalaman seluas 2,919 meter persegi ini membolehkan pembeli untuk menyentuh dan mencuba barangan seperti perabot dan alat elektronik sebelum membeli barangan berkenaan di dalam talian melalui aplikasi Lazada,” katanya.

Selain itu, Glo Damansara turut mengumumkan penyewa utamanya, Jaya Grocer akan memulakan operasi pada separuh pertama 2019.

“Jaya Grocer akan memenuhi ruang seluas 2,136 meter persegi bagi operasi pasar raya dan kafe, Bonjour Garden,” ujarnya.

Glo Damansara merupakan sebahagian daripada hab perniagaan pegangan bebas bersepadu dengan komponen kediaman.

Pusat beli-belah tersebut siap sepenuhnya pada 2016 dan mempunyai kawasan boleh sewa bersih (NLA) kira-kira 35,303 meter persegi.