Kinsteel yang ditubuhkan pada 1991 dan disenaraikan pada 2002 merupakan satu daripada 18 syarikat tersenarai yang berada di bawah Amalan Nota 17 (PN17).

Pada pagi ini, kaunter saham syarikat jatuh dua sen atau 80 peratus dan mencatatkan serendah 0.5 sen dengan lebih 14 juta saham diniagakan.

Menurut Kinsteel, urus niaga syarikat akan digantung berkuat kuasa 5 Januari 2018 selepas Bursa Securities menolak permohonannya untuk melanjutkan tempoh bagi mengemukakan pelan tersebut.

“Syarikat akan dinyahsenarai pada 9 Januari 2018 melainkan rayuan dikemukakan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd. pada atau sebelum 4 Januari 2018. Selepas dinyahsenarai, syarikat akan terus wujud tetapi hanya kekal sebagai entiti tidak disenaraikan,” jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Kinsteel berada dalam senarai PN17 sejak 23 Oktober 2016 selepas juruaudit mendapati wujud penafian pendapat dalam penya­ta kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2016. Disebabkan penafian itu, juruaudit luaran Crowe Horwath mendapati syarikat berdepan kerugian walaupun liabiliti semasa melebihi aset semasa.

Laporan audit itu juga menunjukkan syarikat mengalami kerugian bersih sebanyak RM91.7 juta dan RM87.7 juta masing-masing bagi tahun kewangan 2016. Ia turut mendapati setakat 30 Jun 2016, kumpulan dan liabiliti semasa syarikat melebihi aset semasa masing-masing sebanyak RM701.7 juta dan RM462 juta.

Kinsteel adalah pemegang saham yang mengawal pengeluar produk keluli huluan, Perwaja Holdings Bhd. yang sebelum ini berada dalam PN17 sejak akhir 2013.