Bursa Malaysia dalam ke­nyataan di sini hari ini berkata, penggantungan itu adalah ke­rana harga terakhir saham ke­dua-dua syarikat terbabit jatuh lebih 15 sen atau 15 peratus da­ripada harga rujukan.

Disebabkan itu, Bursa Malaysia bertindak menggantung aktiviti PDT dan IDSS bagi ke­dua-dua kaunter tersebut pada pukul 2.30 petang dan hanya akan diaktifkan semula pada Isnin ini.

Pada tengah hari, harga saham MyEG menjunam 37 sen atau 24.67 peratus kepada RM1.13, menjatuhkan permodalan pasarannya kepada RM5.22 bilion. Ia menjadi kaunter kedua paling aktif diniagakan di pasaran dengan 97.77 juta saham bertukar ta­ngan.

Datasonic pula merupakan kaunter keempat paling aktif diniagakan dengan sejumlah 41.45 juta saham didagangkan. Harga saham kumpulan itu mengalami kejatuhan 25.5 sen atau 36.69 peratus kepada 44 sen, menjadikan permodalan pasarannya RM938.25 juta.

Terdahulu, Ahmad Zahid didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana terlibat dalam 45 pertuduhan rasuah, penggubahan wang haram dan pecah amanah di bawah kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa, Datasonic menyangkal dakwaan itu dan menyatakan syarikat tersebut mendapat kontrak untuk membekalkan 12.5 juta cip bagi pasport Malaysia melalui proses tender terbuka pada April 2012.

“Datasonic Technologies Sdn. Bhd. (DTSB), anak syarikat Datasonic memperoleh kontrak lima tahun untuk membekalkan halaman data polikarbonat pasport dan sistem percetakan berasaskan satu pasport melalui tender terbuka pada April 2012.

“DTSB dianugerahkan kontrak itu pada 15 Disember 2015 berasaskan nilai peruntukan bagi meningkatkan keselamatan cip dengan harga 15 peratus lebih murah berbanding vendor sebelumnya yang memberikan penjimatan RM56.25 juta kepada kerajaan sepanjang tempoh lima tahun,” kata syarikat itu.

Sementara itu, MyEG dalam pemfailannya kepada Bursa turut menafikan membuat sebarang pembayaran kepada mana-mana pihak sewaktu proses memperoleh sebarang konsesi syarikat yang diberikan oleh kerajaan.

“Lembaga pengarah ingin menjelaskan bahawa syarikat ini bukan pihak yang berkaitan dengan pertuduhan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu,” jelas syarikat tersebut.

Menurut MyEG, syarikat itu termasuk lembaga pengarah­nya tidak mengetahui mengenai syarikat yang dinamakan dalam pertuduhan berkenaan iaitu Mastoro Kenny IT Consultant and Services.

MyEG juga mengatakan bahawa syarikat itu tidak berhubung dengan mana-mana wakil Mastoro atau lembaga pengarahnya, tidak mengetahui mengenai urusan antara Mastoro dan Ahmad Zahid, tidak dianugerahkan sebarang projek atau mempunyai urusan dengan Mastoro dan tidak dilantik mana-mana vendor atau kontraktor dalam sebarang urusan dengan Kementerian Dalam Negeri.

“Selain itu, syarikat juga meminta penjelasan daripada SPRM mengenai butiran pertuduhan, untuk mengesahkan bahawa syarikat dan lembaga pengarah bukan pihak yang berkait dengan penyiasatan kepada pertuduhan terhadap Ahmad Zahid,” katanya.