Demikian yang ditegaskan Ke­tua Pengawai Eksekutifnya, Jun-ichi Miki susulan daripada langkah syarikat dari Jepun itu membuka Hab Prinsipalnya di Bandar Sultan Suleiman, di sini yang akan meliputi aktiviti jualan, pengedaran termasuklah royalti bagi pasaran Asia, Eropah, Amerika Utara dan sebagainya.

Meskipun tidak menyatakan kos sebenar pelaburan pembukaan Hab Pinsipal yang diletakkan di bawah anak syarikatnya, MI Services Malaysia Sdn. Bhd. (MIS) itu, Jun-ichi bagaimanapun memaklumkan fasiliti tersebut akan mempercepatkan perkembangan perniagaan Roland pada masa depan.

“Pembukaan Hab Pinsipal ini merupakan pelengkap kepada operasi Roland dan kami telah mempunyai kilang pemasangan produk di sini sejak Julai 2015. Oleh itu, kami merancang untuk mengembangkan lagi skala pengeluaran pada masa depan menerusi penyeliaan dan operasi MIS.

“Sebenarnya pembukaan Hab Pinsipal di Malaysia ini menjadikan kos operasi kami lebih efektif kerana bukan sahaja lokasinya lebih dekat terutamanya dengan pasaran Asia tetapi turut disokong tenaga kerja tempatan yang berkemahiran serta dasar kerajaan Malaysia yang berjaya mewujudkan ekosistem perniagaan terbaik.

“Kalau di China dan negara-negara lain di rantau ini, kami sebenarnya menghadapi kesukaran dari segi komunikasi. Namun di Malaysia, kami tidak berhadapan dengan masalah itu kerana kebanyakan tenaga kerja boleh berbahasa Inggeris selain ada antara mereka boleh berbahasa Jepun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Hab Pinsipal MIS yang disempurnakan oleh Ketua Pengawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud di sini hari ini.

Tambahnya lagi, walaupun ketika ini penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk Roland dilaksanakan di Jepun, namun pihaknya berusaha melatih tenaga kerja tempatan dari segi teknologi termasuklah menghantar mereka untuk menjalani latihan di negara berkenaan.

Sementara itu, Azman ketika ditemui memaklumkan, Jepun merupakan negara pelaburan asing­ utama di negara ini yang mana pada tahun lalu sahaja sebanyak 33 projek dengan nilai RM1.9 bilion telah diluluskan oleh MIDA yang mampu menjana 4,000 peluang pekerjaan.

Beliau turut menyatakan rancangan pihaknya untuk mengadakan misi pelaburan ke Jepun bagi menarik lebih banyak syarikat di negara itu untuk melabur di Malaysia terutamanya dalam bidang mesin dan jentera, kimia, elektrik dan elektronik serta sains hayat.