Ketua Pegawai Eksekutif Asia, Kumpulan Al-Futtaim, Christophe Cann berkata, gedung yang bakal dibuka pada suku pertama tahun 2018 seluas 200,000 kaki persegi itu direka bagi menyediakan pengalaman membeli-belah yang unik kepada pelanggan berbanding pesaingnya.

Menurutnya, gedung setinggi enam tingkat termasuk aras bawah tanah tersebut menawarkan pelbagai barangan mewah dan premium termasuk jenama tempatan serta antarabangsa daripada pelbagai segmen seperti makanan dan minuman (F&B), pakaian, aksesori dan pelbagai lagi.

Jelas beliau, sebagai gedung serbaneka premium dan terkenal di Asia Tenggara, Robinsons sentiasa memberi tumpuan kepada menyediakan yang terbaik bagi memenuhi citarasa dan kehendak pelanggan selaras dengan kehidupan serta gaya hidup masa kini.

“Kami sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan dan merasakan setelah 10 tahun, ini merupakan masa terbaik bagi membuka cawangan kedua di Malaysia kerana kami tidak mahu menjadi seperti gedung-gedung lain sehingga membuatkan terlalu banyak pusat membeli-belah dibuka ketika ini.

“Apa yang penting dalam segmen peruncitan adalah lokasi yang dipilih dan dengan lokasi cawangan kedua ini, kami yakin dapat menarik pelanggan bukan sahaja rakyat tempatan, malah buat pelancong disebabkan lokasi yang terletak betul-betul di tengah Bandar Raya Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Robinsons yang mula bertapak di Singapura pada tahun 1858 merupakan salah sebuah jenama yang paling lama di Asia Tenggara telah dianggap sebagai penanda aras terunggul dalam memenuhi pengalaman membeli-belah merangkumi rangkaian fesyen terkini, produk gaya hidup idaman, barangan rumah terkini, permainan dan keperluan anak kecil.

Gedung berkenaan pernah dibuka di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 1928 sebelum ditutup pada tahun 1975 dan kembali semula pada tahun 2007 apabila membuka cawangan utamanya dalam pusat beli-belah The Gardens.

Mengulas lanjut, Cann berkata, pihaknya juga sedang meneroka peluang membuka gedung dalam talian Robinsons di Malaysia yang disasarkan bermula tahun hadapan.

“Kami telah mula bergerak secara dalam talian di Singapura dan tidak menolak kemungkinan untuk membuka gedung dalam talian di sini (Malaysia), namun apa yang penting adalah memberi tumpuan kepada kedua-dua segmen, sama ada dalam talian atau secara fizikal kerana kami amat mementingkan kepuasan pelanggan.

“Kami juga mahu melibatkan diri lebih banyak dalam aktiviti perniagaan digital seperti me­lakukan pemasaran digital dan menjalinkan kerjasama dengan syarikat digital supaya dapat meluaskan capaian perniagaan,” ujar beliau.