Menurut senarai kedudukan tahunan hartawan dunia ke-33 ­Forbes, Kuok kekal menjadi individu paling kaya di negara ini dengan nilai kekayaan bersihnya kini dianggarkan berjumlah AS$12.8 bilion (RM52.32 bilion), susut daripada AS$14.5 bilion (RM59.27 bilion) tahun sebelumnya.

Forbes berkata, penurunan nilai kekayaan Kuok adalah selari dengan aliran global yang menyaksikan pengurangan ni­lai kekayaan di atas kertas.

Berdasarkan senarai individu terkaya global itu, sehingga kini terdapat sejumlah 2,153 hartawan di seluruh dunia dan jumlah itu lebih rendah berbanding 2018.

“Apabila digabungkan, jumlah nilai kekayaan hartawan dalam senarai tahun ini adalah sebanyak AS$8.7 trilion (RM35.56 trilion), susut AS$400 bilion (RM1.635 trilion) dari tahun lalu.

“Secara keseluruhan, sebanyak 11 peratus atau 247 individu yang tersenarai tahun lalu tidak tersenarai kali ini dan ia adalah jumlah terbesar sejak 2009 yang turut menyaksikan kemuncak krisis kewangan global pada waktu itu,” kata Forbes dalam satu kenyataan mengumumkan senarai terbaharu individu paling kaya di dunia.

Dalam pada itu, Pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan turut tersenarai sebagai individu kedua paling kaya di Malaysia dengan nilai kekayaan juga berjumlah AS$9.4 bilion (RM38.42 bilion).

Turut berada dalam senarai adalah Tan Sri Teh Hong Piow (RM27.39 bilion); Tan Sri Ananda Krishnan (RM25.34 bilion); Tan Sri Lee Shin Cheng (RM22.07 bilion), Tan Sri Chen Lip Keong (RM20.44 bilion) dan Tan Sri Lim Kok Thay (RM17.98 bilion).

Ahli perniagaan bumiputera terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary turut tersenarai sebagai antara 10 individu paling kaya di negara ini, berkongsi kedudukan dengan Tan Sri Koon Poh Keong de­ngan nilai kekayaan sebanyak AS$1.7 bilion atau RM6.94 bi­lion.

Individu paling kaya di dunia kekal menjadi milik pengasas Amazon, Jeff Bezos dengan nilai kekayaan AS$131 bilion (RM535.46 bilion), me­ninggalkan Bill Gates di tempat kedua dengan nilai kekayaan AS$96.5 bilion (RM394.44 bilion) dan pelabur, Warren Buffet (AS$84.5 bilion atau RM345.39 bilion).

Sementara itu Pengasas Kylie Cosmetics, Kylie Jenner dinamakan sebagai hartawan paling muda 2019 dengan nilai kekayaan dianggarkan berjumlah AS$1 bilion (RM4.09 bi­lion).