Dana itu dinamakan sebagai Dana Inovasi Digital Axiata (ADIF) dengan Axiata memperuntukkan sejumlah RM50 juta, manakala Mavcap menyalurkan RM20 juta dan bakinya akan diraih daripada pelabur-pelabur lain.

Pengarah Urusan Axiata, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim berkata, pihaknya menjangka usaha itu dapat melahirkan lima hingga 10 syarikat digital tempatan yang mampu menembusi dan menguasai pasaran serantau.

Katanya lagi, dana ini akan membantu syarikat-syarikat yang baharu berada di peringkat permulaan, tetapi memerlukan sokongan khususnya aspek kewangan untuk membangunkan produk inovasi masing-masing.

“Bantuan bukan setakat kewangan sahaja, tetapi juga boleh mengambil kesempatan terhadap jaringan perniagaan Axiata untuk membawa syarikat-syarikat ini ke pasaran serantau,” katanya semasa majlis menandatangani perjanjian antara syarikatnya dengan Mavcap di sini hari ini.

Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Jelas Jamaludin, pecahan dana itu ialah 70 peratus diperuntukan kepada bumiputera dan selebihnya kepada bukan bumiputera.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mavcap, Jamaludin Bujang berkata, dijangka 10 hingga 15 buah syarikat akan menerima bantuan tersebut dengan anggaran setiap syarikat menerima antara RM8 juta hingga RM10 juta.

“Fokus akan diberikan kepada syarikat-syarikat yang telah mempunyai produk dan potensi untuk diperkembangkan. Sesiapa yang berminat boleh melayari laman web Axiata atau Mavcap untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan dana ini,” katanya.