Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MRCSB, Hashim Majid, MRCSB yang merupakan syarikat penapisan utama milik Petronas membekalkan hampir 70 peratus keperluan petrol dan diesel di dalam Malaysia juga berhasrat menjadi pengeluar utama diesel EURO5 di negara ini menjelang 2020.

Beliau berkata, MRCSB yang mula beroperasi sejak 1993 ­de­ngan 1,084 kakitangan kini menghasilkan sejumlah 300,000 tong petrol dan diesel bertapis setiap hari manakala sebanyak 30,000 tong diesel EURO5 yang mula dikeluarkan sehari sejak awal tahun ini.

“Sasaran kita adalah menje­lang September 2020, MRCSB akan menghasilkan jumlah penapisan EURO5 yang lebih meluas bagi pasaran tempatan dan ketika ini projek tersebut telah memasuki fasa 30 peratus siap. Keseluruhan projek petroleum bertapis EURO5 ini dijangka dapat dihasilkan sepenuhnya pada 2025.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kembali ke Sekolah anjuran MRCSB yang melibatkan sumbangan seba­nyak RM110,000 kepada 433 murid dan pelajar dari 11 buah sekolah di kawasan Tangga Batu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Jabatan Kewangan MRCSB, Nik Amri Nik Mohamad dan juga Pengurus Besar Jawatan Perkhidmatan Teknologi MRCSB, Ahmad Sazali Mudzakir.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, penggunaan diesel EURO5 yang ditapis oleh MRCSB di Melaka merupakan sesuatu yang perlu dibanggakan kerana ia merupakan produk yang berkualiti tinggi dihasil penuh oleh syarikat tempatan dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Penggunaan diesel EURO5 ini lebih berkualiti kerana kan­dungan sulfur yang lebih rendah, malah menggunakan tenaga kepakaran Fluid Technology Solutions (FTS) yang sama digunakan untuk jentera Formula One (F1) bagi kumpulan Mercedes-AMG PETRONAS F1 yang baru-baru ini telah memenangi perlumbaan lima kali berturut-turut sejak 2014,” katanya.