Topik kali ini akan memberi tumpuan kepada pinjaman pembiayaan saham dan panggilan margin ke atas saham IPO.

Kronologi proses penyenaraian saham tersebut pada asalnya diterbitkan pada harga RM8 tetapi kemudian disemak semula harga kepada RM6.50 setelah dibuat penilaian semu­la. Penetapan harga RM6.50 tersebut juga disebabkan oleh permintaan yang rendah berbanding pe­nawaran saham tersebut serta sentimen pasaran semasa yang kurang memberangsangkan.

Sentimen pasaran pada pertengahan tahun ini bermula pada bulan Mei lalu menjadi agak kurang rancak selepas pasaran mengalami aliran menaik pada awal tahun. Dengan kata lain, penyenaraian saham IPO tersebut telah memasuki fasa yang mana pasaran mengalami pembetulan harga.

Sekali pun harga telah dise­mak semula kepada RM6.50, ia masih tidak dapat menarik minat pelabur lebih-lebih lagi pelabur runcit kerana berdasarkan harga RM6.50 ini sekiranya dihitung menggunakan kaedah perkiraan yang mudah, saham tersebut perlu naik sekurang-kurangnya an­tara 50 sen hingga RM1 atau lebih.

Saya membuat perban­­di­ngan harga merujuk kepada saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang harganya telah mencatatkan premium sebanyak 91 sen pada harga terbitan RM4.55.

Pada ketika penyenaraian FGV atau Maxis, tidak terdapat apa-apa berita negatif mahupun krisis dalaman negara serta kurangnya pergolakan politik pada waktu itu. Sentimen pasaran semasa pada waktu FGV disenaraikan agak positif seiring dengan penyenaraian beberapa saham IPO di papan Bursa Malaysia yang mencatatkan premium yang sangat baik. Boleh dikatakan ramai pelabur mendapat rezeki durian runtuh daripada saham IPO.

Dengan adanya kemuda­h­an pinjaman yang boleh dimohon bagi langganan saham IPO, pemohon yang berjaya mendapat peruntukan saham di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ini boleh mendapatkan pinjaman ke atas pembiayaan saham tersebut. Dengan kata lain, pemohon boleh membuat pinjaman sebahagian daripada jumlah keseluruhan saham yang berjaya diperoleh.

Sekiranya pemohon telah membuat pinjaman bank, maka peminjam tersebut atau pelabur telah terdedah kepada risiko panggilan margin. Panggilan margin ini harus dipatuhi dan sekiranya pe­minjam gagal untuk menambah modal tunai yang terhutang semasa harga saham mengalami penurunan, saham yang masih dalam pinjaman itu akan dijual paksa atau dikenakan panggilan margin.

Walau bagaimanapun, pe­labur akan dimaklumkan oleh pihak broker saham tentang panggilan margin ke atas saham-saham yang masih berhutang menyediakan wang yang mencukupi untuk menaikkan kedudukan nisbah pinjaman tersebut.

Sekiranya pelabur gagal untuk menambah atau mendepositkan wang yang secukup­nya dalam tempoh yang ditetapkan, maka pihak broker saham akan menjual saham-saham tersebut setakat untuk merendahkan nisbah kedudukan margin tersebut.

Dalam kes saham tersenarai yang dibincangkan di rua­ngan ini, faktor utama yang mencetuskan penurunan har­ga drastik disebabkan pengumuman tentang pendapatan suku kedua syarikat yang merosot sebanyak 72 peratus disebabkan gangguan bekal­an air yang mengakibatkan permasalahan dalam operasi kilang yang telah menjejaskan pengeluaran produk.

Seperti yang telah saya tekankan dalam beberapa siri artikel terdahulu, pelabur dan pedagang saham perlu peka dan ambil tahu tentang beri­ta perkembangan semasa serta asas-asas fundamental sesebuah syarikat tersenarai.

Seperkara lagi di dalam kes ini, pihak syarikat tersenarai buat pertama kalinya telah mengeluarkan satu tawaran pembelian semula (share buy back) saham daripada peme­gang saham yang mendapat peruntukan di bawah MITI untuk menjual saham yang diperoleh itu pada harga yang sama iaitu RM6.50.

Sekiranya pelabur saham bertindak cepat mengisi borang tawaran tersebut untuk menjual saham pada harga terbitan, maka pelabur telah terhindar daripada menanggung kerugian kerana harga saham tersebut telah jatuh serendah RM4.14 atau 36 pe­ratus kejatuhan daripada harga terbitan semasa panggilan margin ini yang dibuat secara besar-besaran dalam beberapa hari. Bayangkan harga dari RM6.50 telah ja­tuh serendah RM4.14 serta kerugian yang ditanggung oleh pemegang saham.

Oleh kerana saham IPO yang baru disenaraikan tidak mempunyai cukup data untuk kajian analisis teknikal, maka pelabur perlu beralih kepada fundamental syarikat tersebut dalam membuat keputusan melabur.