Ketua Perbankan Perniagaan dan Transaksi Kumpulan, Jeffrey Ng Eow Oo berkata, matlamat RHB adalah untuk memacu pertumbuhan perniagaan PKS supaya menyumbang 20 peratus kepada pembiayaan domestik bank itu menjelang 2022.

“Terdapat kira-kira 900,000 PKS di seluruh negara yang mana hampir 20 peratus adalah pelanggan RHB, ia menjadikan penguasaan pasaran RHB dalam segmen PKS sebanyak sembilan peratus pada 2017.

“Kami yakin sasaran memacu pertumbuhan perniagaan PKS dapat dicapai dengan platform dalam talian ini yang menawarkan pengalaman permohonan pembiayaan yang mudah dan lancar,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Platform RHB SME Financing di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Dr. Hafsah Hashim.

RHB turut menawarkan PKS dengan pelbagai ekosistem pembayaran seperti Kad MyDebit Korporat, JomPAY, penyelesaian e-runcit PKS termasuk electronic Point Of Sales (ePOS), Merchant Mobile Point of Sale (MPOS) dan Reflex.

Katanya, PKS berpeluang membuat permohonan dalam hanya 10 minit termasuk memuat naik kad pengenalan pengurusan tertinggi dan rekod bank enam bulan syarikat untuk mendapatkan pembiayaan dalam tempoh lima hari bekerja.

Eow Oo memberitahu, PKS dengan perolehan kurang daripada RM35 juta setahun layak untuk membuat permohonan pinjaman itu yang menawarkan tempoh minimum enam hingga 24 bulan bagi pembiayaan antara RM50,000 dan RM300,000.

“Buat ketika ini, platform RHB SME Financing ini masih dalam peringkat percubaan dan boleh dipohon oleh PKS di Lembah Klang sahaja, namun akan dilancarkan di seluruh negara menjelang suku ketiga tahun ini,” katanya.

Tambah beliau, pelancaran platform pertama seumpamanya di Malaysia itu menjadikan RHB sebagai pemimpin dalam memperkasakan segmen perbankan digital negara.