Pemangku Ketua Perbankan Peruncitan Kumpulan, Nazri Othman berkata, wilayah utara me­rupakan pasaran kedua terbesar domestik selepas Lembah Klang yang banyak melayani pelanggan perniagaan.

Katanya, pelanggan RHB Bank di utara terdiri daripada peruncitan serta perusahaan kecil dan sederhana, Pusat Perbankan Premier diwujudkan bagi tujuan memenuhi tuntutan segmen mewah di kawasan berkenaan.

“Cawangan baharu di Tanjung Tokong akan memacu asas pelanggan di utara sebanyak kira-kira 10 peratus pada 2018,” katanya kepada pemberita.

Menurut Nazri, pengembangan itu akan merangsang prestasi RHB di wilayah utara yang kini menduduki tempat ketiga terbaik antara 10 wilayah tempatan bank itu.

Terdahulu, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli telah merasmikan cawangan RHB Bank di Wisma Binjul, Tanjung Tokong, yang merupakan cawangan ke-24 bank itu di kawasan utara.

Bagaimanapun, Nazri melahirkan keyakinan bahawa sektor pinjaman gadai kumpulan iu akan meningkat sebanyak 16 peratus dalam tahun ini.

“Kami menjangkakan angka tersebut akan mengatasi pertumbuhan gadai janji dalam industri pembiayaan yang diramalkan tumbuh pada 7 peratus dalam tahun ini. Kami menjangkakan pinjaman gadai janji akan berkembang kira-kira 13 peratus pada tahun depan,” katanya.

Katanya, selain mengembangkan Amanah Saham Bumiputera dan pembiayaan kenderaan, pinjaman kumpulan akan memberi tumpuan kepada perumahan atau membeli projek-projek yang mampu milik sejajar dengan permintaan pasaran dan tawaran pemaju.

“Kami juga yakin dengan pertumbuhan sektor runcit tetapi kami agak memilih dalam menentukan jenis perniagaan yang kami setuju untuk biaya,” kata­nya. – BERNAMA