Keputusan itu dibuat setelah Touch ‘n Go melaksanakan sesi ujian menyeluruh ke atas teknologi tersebut melalui kerjasama de­ngan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya di bawah naungan pihak berkuasa lebuhraya sepanjang tahun lepas.

Menurut Touch ‘n Go, syarikat itu turut menjemput dan mengalu-alukan orang-ramai yang berminat menggunakan RFID untuk mendaftar melalui laman web www.touchngo.com.my dan mengambil bahagian dalam ujian perintis tambahan mulai 3 September ini.

“Hasil daripada ujian perintis ini dapat membantu Touch ‘n Go dan pihak-pihak berkenaan untuk memperbaiki sebarang kelemahan dalam sistem RFID ini sebelum ia dilancarkan di seluruh lebuhraya di Malaysia sekitar Januari 2019,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selari dengan rancangan pelancaran sistem RFID ini pada tahun hadapan, pihak Touch ‘n Go tidak lagi menjual peranti SmartTAG di mana-mana ejen-ejen sah Touch ‘n Go bermula hari ini.

“Walau bagaimanapun, peranti SmartTAG sedia ada masih boleh digunakan di semua lebuh raya.

“Selain itu, pengguna-pengguna lebuhraya masih boleh menggunakan kad Touch ‘n Go dan MyKad mereka untuk pembayaran tol seperti biasa,” kata syarikat itu.

Touch ‘n Go berkata, RFID adalah teknologi sedunia yang telah diguna pakai di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Argentina dan Taiwan untuk pembayaran tol secara elektronik.

“Sistem RFID ini menggunakan cip frekuensi radio yang terkan­dung di dalam satu pelekat yang ditampal pada sesebuah kende­raan dan akan menggantikan pera­nan peranti SmartTAG.

“Pelekat ini unik bagi setiap kenderaan dan akan dihubungkan kepada aplikasi eWallet Touch ‘n Go yang memberikan kemudahan kepada pengguna untuk memantau baki eWallet mereka dan menambah nilai secara dalam talian,” ujarnya.

Untuk senarai lebuh raya di Lembah Klang yang dilengkapi dengan lorong RFID, orang ramai boleh merujuk laman web http://www.touchngo.com.my.