Selain itu, ia juga merupakan satu kaedah yang sangat mudah kerana boleh dilakukan di mana sahaja hanya di dalam talian dan dikawal selia oleh Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Sekiranya seseorang pelabur atau pedagang saham ingin mendapatkan semula wang pelaburan, mereka boleh terus menjual pegangan saham dan wang mereka akan dikembalikan pada T+3 jika pembelian saham telah dibayar sepenuh­nya.

Sekiranya penjualan saham merupakan transaksi kontra, maka wang hasil daripada penjualan saham yang menguntungkan akan dibayar pada T+5.

Bagi masyarakat kini terutama kaum bumiputera, pelaburan atau perdagangan saham merupakan satu bentuk aktiviti yang kurang popular berbanding dengan skim cepat kaya, multi-level marketing, pelaburan emas dan forex.

Dan baru-baru ini perdagangan crypto currencies juga meru­pakan satu aktiviti yang telah menarik minat ramai orang menceburinya.

Sebelum seseorang itu menceburi sesuatu pelaburan, kajian perlu dibuat terlebih dahulu kerana semua bentuk pelaburan terdedah kepada risiko. Dalam konteks pelaburan dan perdagangan saham, risiko utama ialah jaminan dan pergerakan harga saham sama ada pelaburan dan perdagangan di pasaran terbuka mahupun saham IPO.

Sebagai rumusan, risiko pelaburan saham seperti berikut:-

  • Kejatuhan atau penurunan harga saham.
  • Ketidakupayaan syarikat tersenarai membayar divi­den kepada peme­gang saham.
  • Syarikat tersenarai di­nyahsenaraikan daripada papan Bursa Malaysia.
  • Tarikh luput waran dan waran berstruktur.

Justeru, pelabur dan pedagang saham perlu berwaspada dan mempunyai pengetahuan tentang risiko yang bakal mereka hadapi kerana ia merupakan satu kerugian kepada pelabur dan pedagang saham.

Pelaburan dan perdagangan saham merupakan satu sumber rezeki yang tidak terbatas dan boleh dikatakan setiap hari pedagang saham yang mahir berpotensi meraih keuntungan. Tetapi dengan adanya risiko yang tersebut di atas, keuntungan yang sepatutnya dikecapi berubah menjadi kerugian.

Pelabur saham yang cende­rung kepada pelaburan jangka masa sederhana iaitu untuk tempoh pegangan beberapa bulan dan pelabur jangka panjang untuk tempoh beberapa tahun juga perlu tahu risiko yang ada semasa tempoh pegangan saham tersebut.

Sebagai contoh, seperti yang umum ketahui, sehingga sekarang banyak syarikat tersenarai berkaitan minyak dan gas masih belum lagi pulih sejak kejatuhan harga pasaran minyak mentah dunia.

Terdapat harga saham syarikat tersenarai berkaitan minyak dan gas masih terkesan hingga sekarang yang mana syarikat tersebut masih tidak dapat menghasilkan keuntungan malah kerugian semakin membesar.

Pelabur dan pedagang saham juga perlu rajin membaca dan mengikuti perkembangan dan berita semasa tentang pasaran saham yang dikeluarkan oleh syarikat tersenarai. Ini boleh dijadikan panduan bagi membantu pelabur dan pedagang ketika mahu membuat pelaburan.

Sekiranya terdapat sebarang berita buruk atau yang berbentuk negatif, pelabur jangka masa panjang tidak boleh berdiam diri tanpa membuat apa-apa tindakan.

Ini kerana sekiranya membiarkan portfolio pelaburan begitu sahaja tanpa dipantau, dikhuatiri mereka tidak sedar harga saham di dalam portfolio mereka semakin menurun atau syarikat tidak dapat membayar dividen tahunan seperti biasa.

Pelabur dan pedagang saham juga harus banyak bertanya kepada pakar pelaburan atau individu yang diiktiraf dalam bidang saham jika ada perkara-perkara yang tidak pasti atau jika membaca artikel atau penulisan tentang pasaran saham.

Ini kerana ramai yang boleh bercakap tentang pasaran saham tetapi tidak semua yang diperkatakan atau ditulis itu benar dan tepat.

Sedikit usaha perlu dilakukan bak kata pepatah ‘perlu pecahkan ruyung untuk mendapatkan sagunya’. Tiada istilah duduk diam untuk mendapat duit seper­ti skim-skim cepat kaya yang tidak memerlukan kajian, penyelidikan dan pembelajaran.

Ia amat berbeza dengan konsep pelaburan dan perdagangan saham di Bursa Malaysia kerana bidang ini perlu dipelajari terlebih dahulu. Ia bukanlah sesuatu yang datang bergolek tanpa usaha.

Dari awal pembukaan akaun CDS, menghadiri pembelajaran saham, melihat turun naik harga saham, membuat kajian dan analisis saham serta pembacaan tentang pasaran saham serta perkembangan isu semasa yang berkaitan dengannya, semuanya memerlukan usaha dan tenaga dan kemudian disusuli dengan hasil yang lumayan jika kena caranya.

Lumayan dalam erti kata lain, setiap hari pedagang saham yang mahir membaca carta saham mampu meraih keuntungan dengan cepat kerana dengan kenaikan harga saham walaupun sedikit, mampu menghasilkan pendapatan kepada mereka.

Kepada yang ingin mempelajari pelaburan saham boleh mendaftar di https://tinyurl.com/investrade2018