Sebelum Cikgu Saham bercerita tentang rezeki lumayan yang diperoleh daripada pasaran saham Bursa Malaysia, perlu ditegaskan bahawa penera­ngan ini merupakan kisah yang terjadi di pasaran saham. Ia bukan saranan atau cadangan kepada pembaca.

Di dalam pelaburan dan per­da­gangan saham, terdapat berbagai kaedah dan cara yang dilakukan untuk menjana keuntungan. Kaedah atau cara ini boleh jadi lahir daripada pembe­lajaran, kajian, pemerhatian ataupun kepercayaan seseorang.

Ada orang percaya bahawa membeli saham untuk jangka masa panjang lebih menguntungkan berbanding membuat urus niaga saham untuk jangka masa singkat atau harian. Sebaliknya ada yang percaya bahawa memegang saham dalam tempoh yang singkat lebih rendah risikonya berbanding de­ngan memegang saham untuk tempoh yang lama.

Terdapat pelbagai kepercayaan dan kajian yang dilakukan oleh para pelabur dan peda­gang saham untuk menjana keuntungan di pasaran saham.

Berbalik pada topik kita, tidak ramai orang mendapat rezeki terpijak dalam apa bidang sekalipun. Juga, kadang-kala rezeki terpijak ini diperoleh sekali dalam seumur hidup. Dan rezeki terpijak ini juga tidak mustahil diperoleh daripada pasaran saham. Mungkin ramai yang merasa ragu-ragu atau kurang percaya tetapi inilah hakikatnya.

Pada hari Khamis lepas, Bursa Malaysia telah memberi ‘durian runtuh’ kepada yang bernasib baik atau kita panggil yang berani mengambil risiko. Sememangnya pelaburan saham mempunyai risiko kerana syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia menjalankan perniagaan dan perkhidmatan. Maka, setiap perniagaan itu terdedah kepada risiko kerugian.

Bursa Malaysia mempunyai pelbagai kelas saham seperti saham biasa, saham keutamaan, waran, waran panggilan, terbitan hak dan sebagainya.

Seorang pelabur atau pedagang saham yang ingin membeli saham, perlu tahu apakah jenis dan pengertian saham-saham tersebut. Saham biasa tidak sama fungsinya dengan waran panggilan. Begitu juga, terbitan hak berbeza daripada saham biasa syarikat tersenarai.

Waran serta waran panggilan mempunyai harga kuat kuasa serta tarikh luput. Maka, untuk mengelakkan membuat kesilapan terbeli waran yang hampir tamat tempoh, kita perlu tahu definisi atau makna setiap kelas saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Pedagang saham yang aktif dan ingin meraih keuntungan secara pantas perlu mengetahui sektor atau tema apakah yang bakal mendominasi gelanggang saham-saham aktif dalam ali­ran menaik.

Dalam pelaburan atau perdagangan saham, setiap pelabur dan pedagang saham juga perlu mempunyai matlamat dan prinsip. Tetapi terdapat juga yang tidak mempunyai matlamat dan prinsip atau kita sebut sebagai pelan perdagangan atau pelan pelaburan.

Golongan yang tidak mempunyai perancangan dan matlamat di dalam pelaburan atau perdagangan saham bia­sanya tidak membuat jurnal pelaburan atau perdagangan saham. Mereka membeli dan menjual saham sembarangan tanpa matlamat dan strategi.

Dan yang lebih teruk lagi apabila mereka ini selalu bersandarkan kepada nasib serta menaruh harapan tatkala membeli saham. Membeli dan menjual saham seperti bermain judi yang bertaruh kepada nasib semata-mata. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Berbalik kepada kisah rezeki terpijak ini, terdapat pelabur dan pedagang saham yang membuat andaian bahawa sesuatu waran syarikat tersenarai yang hampir tarikh matang akan ditolak naik harganya. Maka, mereka akan membeli dan menyimpan waran ini dengan harapan satu hari nanti pada saat menghampiri tarikh matang ini, harga waran tersebut akan naik dengan banyak.

Dan inilah yang terjadi pada Khamis lepas yang mana satu waran berharga setengah sen yang akan matang dan dinyah senarai daripada papan Bursa Malaysia pada April ini menca­tatkan kenaikan harga seba­nyak 4,300 peratus dalam tempoh dua hari dagangan Bursa Malaysia. Harga waran tersebut daripada RM0.005 telah mencecah ke paras tertinggi RM0.22 pada Jumaat.

Pada Isnin, harganya telah menyusut menjadi RM0.135 pada penutup pasaran dan semasa artikel ini ditulis, harga terendah yang dicatatkan pada sesi pertama ialah RM0.09.

Terdapat pelabur dan pedagang saham yang meraih pula­ngan yang lumayan tetapi tidak dinafikan pembeli pada harga tertinggi bakal berhadapan dengan kerugian jika tidak dapat melupuskan waran tersebut jika harga meneruskan aliran menurun sehingga tarikh tamat nanti.

Seminar pendidikan saham akan diadakan di Perak dan permohonan boleh diajukan ke [email protected] di talian 05-2495386.